10 Pusingan, 15 Kali Jatuh, Marc Marquez Dahului Carta 'Raja Jatuh' MotoGP 2024
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/15/20241 min read


SELEPAS 10 pusingan MotoGP musim ini berlangsung, pelumba yang beralih angin daripada Honda ke Ducati, Marc Marquez tampil mendahului carta pelumba paling banyak terjatuh.
Apa yang pasti, ia bukan statistik yang dimahukan oleh Marquez selepas memegang rekod pelumba jatuh paling banyak dalam kempen MotoGP musim lalu iaitu 29 kali.
Kebiasaannya, terlalu banyak kemalangan memberikan indikasi yang ada sesuatu yang tidak betul dan pastinya ia memakan kos yang cukup tinggi kepada pasukan.
Untuk Marquez, Honda RC213V jelas bukan jentera yang mudah untuk dikendalikan musim lalu dengan rakan sepasukannya, Joan Mir turut merekodkan 24 kali kejatuhan.
Setakat ini, Marquez yang beraksi menggunakan jentera GP23 bersama pasukan Gresini Racing sudah mengumpul 15 kali kejatuhan termasuk pada Perlumbaan Sprint di GP British, sebelum ini.
Pelumba 'Rookie' tunggal MotoGP musim ini, Pedro Acosta yang beraksi bersama pasukan Tech3 GasGas mengisi tangga kedua dengan 12 kali, berkongsi jumlah yang sama dengan pelumba jauh lebih berpengalaman di KTM, Brad Binder.
Honda juga tampaknya masih belum dapat mencari resipi terbaik untuk mengelak daripada jatuh dengan dua pelumbanya, Johann Zarco (LCR Honda) dan Mir (Repsol Honda) masing-masing mengumpul 10 kejatuhan.
Pendahulu kejuaraan musim ini, Jorge Martin dari Pramac Racing sudah mengumpul tunuh kejatuhan setakat ini manakala Francesco Bagnaia dan Enea Bastianini masing-masing mengumpul 5 kali kejatuhan dalam tempoh yang sama.
Disebalik jumlah jatuh tinggi direkodkan di kem Honda, seorang pelumbanya iaitu Luca Marini merekodkan kejatuhan paling sedikit iaitu 3.
Turut menarik adalah pelumba Aprilia, Maverick Vinales dan Pramac Racing, Franco Morbidelli masing-masing audah melepasi jumlah kejatuhan mereka musim lalu setakat ini.
Angka Jatuh Pelumba MotoGP 2024
Marc Marquez, 15
Pedro Acosta, 12
Brad Binder, 12
Joan Mir, 10
Marco Bezzecchi, 10
Johann Zarco, 10
Alex Marquez, 9
Jack Miller, 9
Maverick Vinales, 8
Alex Rins, 8
Franco Morbidelli, 8
Jorge Martín, 7
Aleix Espargaro, 7
Fabio Di Giannantonio, 7
Augusto Fernandez, 6
Raul Fernandez, 6
Francesco Bagnaia, 5
Enea Bastianini, 5
Fabio Quartararo, 5
Takaaki Nakagami, 5
Miguel Oliveira, 4
Luca Marini, 3
Dani Pedrosa, 2*
Lorenzo Savadori, 2*
Pol Espargaro, 1*
Stefan Bradl, 1*
(*Pelumba ujian)
