2024 Tahun Terakhir Azlan Shah Di Asia? Sasar Penampilan Penuh EWC Musim 2025!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/22/20241 min read

JUARA Asia kelas elit ASB1000 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019, Azlan Shah Kamaruzaman meletakkan sasaran untuk beraksi di Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) pada tahun 2025 tatkala kelibatnya di pentas Asia musim ini masih dalam keraguan.

Sebagai pelumba yang menyarung sut lumba pasukan TKKR Racing Team, Azlan yang juga bekas pelumba Moto2 negara di Kejuaraan Motosikal Dunia terpalit dengan isu yang dialami pasukan itu ketika ini.

Dan mengulas mengenai situasi berkenaan, pelumba kelahiran Selangor itu menjelaskan dia masih belum mengetahui mengenai 'nasibnya' selain menyuarakan perkhabaran mengecewakan membabitkan persaraan.

"Buat masa ini, masih menunggu jawapan yang belum pasti," kata Azlan Shah memetik laporan BHSukan.

"Kalau tak ada tempat (tahun ini), saya akan bersara awal di pentas Asia. Saya meletakkan sasaran umur 40 sebagai had maksimum untuk beraksi di Asia. Kalau masuk umur 41, agak sukar untuk menyaingi pelumba muda," katanya.

Sebelum ini, TKKR Racing Team menerusi hantaran di Facebook mendedahkan kegagalan untuk mendapatkan penaja berpotensi menyebabkan perjalanan pasukan di peringkat Asia terhenti.

Begitupun, Azlan berkata ketiadaannya di pentas Asia bukan bermakna dia sudah menggantung but lumbanya, namun beralih kepada satu lagi perlumbaan mencabar, Kejuaraan Endurance Dunia (EWC).

Mengulas lanjut mengenai rancangan, Azlan menjelaskan perancangan itu sudag dibuat sejak tahun lalu ketika dia beraksi bersama pasukan Frontier di perlumbaan 8 Jam Suzuka.

"Tahun ini saya akan menyertai perlumbaan 8 Jam Suzuka juga dan kalau tak ada apa-apa, mungkin saya akan menyertai EWC secara musim penuh pada 2025 nanti," kata Azlan Shah.

Sebagai info, selain berlumba, Azlan juga adalah pemilik pasukan AS25 Academy Racing yang beraksi dalam kelas WIRA di Kejuaraan Cub Prix Malaysia ketika ini.