'2025 Sukar, 2026 Ada Peluang'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/4/20251 min read

PENYANDANG juara dunia MotoGP, Jorge Martin mengakui sukar untuknya mengekalkan gelaran dunia bersama Aprilia.

Martin membuat keputusan mengejutkan apabila bertindak menyertai Aprilia daripada Ducati pada pertengahan tahun lalu selepas tempat di Ducati Lenovo dipenuhnya Marc Marquez.

Apa yang menarik, pelumba kelahiran Sepanyol itu berjaya menangani segala cabaran dan menjuarai gelaran dunia pertamanya bersama Pramac Ducati.

Tetapi dengan menerima tawaran Aprilia, ia bermakna Martin akan memperoleh salah satu jentera terbaik kepada jentera yang dilihat kurang kompetitif berbanding Ducati.

Mengakui sedar dengan 'risiko' yang diambilnya, Martin berkata sukar untuknya berada di puncak terutama pada musim 2025 tetapi kemungkinan untuk kembali 'mengganas' tampak cukup positif pada 2026.

"Jika saya meneruskan dengan Ducati, sasarannya pasti adalah sama, iaitu untuk memberikan segala-gala yang saya dan meraih kejayaan," kata Martin dalam satu siaran podcast di Sepanyol.

"Tetapi sekarang saya tidak mempunyai sebarang idea, kerana saya tidak tahu bagaimana keadaan jentera.

"Cabarannya adalah besar, kerana saya akan mendapat jentera yang berada di kedudukan 10 ke belakang, dan meninggalkan salah satu jentera yang berada di kedudukan teratas.

"Jika saya perlu bermula di petak kelima, dan menamatkannya dengan memenangi perlumbaan, atau mendapat tempat kedua, saya amat bangga. Apa yang utama adalah untuk berkembang."

Mengulas lanjut, Martin berkata: "Membawa Aprilia untuk bersaing merebut kejuaraan tidak akan mudah, jadi sasaran untuk musim baharu adalah seperti itu.

"Peluang mungkin boleh datang dengan sendirinya mungkin seawal tahun 2026, tetapi ketika ini, saya hanya cuba untuk melakukan yang terbaik."