3 Juruteknik Terbaik BSH Sedia Gegar Jakarta
Untuk dinobatkan sebagai pemenang dan mewakili BSH, kesemua finalis diuji secara komprehensif mengikut piawaian ketat antarabangsa Honda Asia dan Oceania membabitkan ujian teori 35 soalan berkaitan pengetahuan teknikal serta standard perkhidmatan Honda
TERKINI
7/5/20261 min read


KEPAKARAN teknikal 3 mekanik - Muhammad Al’Amin Yusri, Kwang Teck Hing dan Aidil Adha Samsumar menyaksikan mereka dinobatkan sebagai juruteknik terbaik Honda Motorcycle Malaysia pada Pusingan Akhir Pertandingan Kemahiran Juruteknik (TSC) Boon Siew Honda (BSH) 2026 yang melabuhkan tirainya di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Kejayaan itu menyaksikan ketiga-tiganya berjaya mengenepikan cabaran 13 finalis lain di pentas akhir, selepas cemerlang melepasi dua pusingan saringan sengit pada Januari dan Mac lalu yang membabitkan ratusan peserta dari seluruh negara.
Gelaran juara bagi Kategori COM 1 (Honda ADV160) dirangkul oleh Muhammad Al’Amin dari Wei Ling Motor Sdn Bhd (Zon Selatan), manakala Kwang Teck Hing dari Kuek Motor (M) Sdn Bhd (Zon Tengah) menjuarai Kategori COM 2 (Honda RSX150).
Kategori motosikal berkuasa tinggi, FUN (Honda CB650R) pula dimenangi Aidil Adha Samsumar dari Honda Big Wing Johor Bahru (Zon Selatan).
Berikutan kejayaan itu, ketiga-tiga juruteknik ini bakal memikul cabaran Honda Motorcycle Malaysia ke Pertandingan Kemahiran Juruteknik Asia & Oceania (A&O) 2026 di Jakarta, Indonesia pada November depan untuk berentap dengan barisan mekanik terbaik dari rantau ini.
Sebagai info, untuk dinobatkan sebagai pemenang, kesemua finalis diuji secara komprehensif mengikut piawaian ketat antarabangsa Honda Asia dan Oceania membabitkan ujian teori 35 soalan berkaitan pengetahuan teknikal serta standard perkhidmatan Honda.
Selain itu, mereka turut diuji dengan penilaian praktikal ke atas jentera merangkumi penyelenggaraan berkala, pembaikan am, ujian masa serta ujian komponen. Aspek penilaian tidak bergantung kepada kepantasan semata-mata, sebaliknya memfokuskan kepada kualiti kerja, kelengkapan alatan yang betul dan amalan keselamatan.
Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Kunitomo Asano berkata, pencapaian ketiga-tiga juruteknik itu bukanlah satu kebetulan, sebaliknya terhasil daripada keazaman mereka untuk menjadi yang terbaik dalam kraf mengekalkan prestasi optimum motosikal Honda.
"Apabila mereka melangkah ke pentas di Jakarta pada November ini, mereka bukan sahaja membawa nama BSH, tetapi turut membawa standard dan penanda aras yang patut menjadi inspirasi setiap juruteknik Honda di Malaysia," katanya.
Sebagai rekod, penampilan di Jakarta adalah kali keempat BSH menghantar wakil ke peringkat serantau A&O. Dalam dua penyertaan terakhir, wakil negara berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila muncul juara Kategori FUN di Bangkok serta merangkul tempat ketiga Kategori COM di Manila.

