3 Perpindahan Paling Curi Tumpuan Marc Marquez 2027
Ketika ditanya mengenai pertukaran pasukan manakah yang paling menarik perhatiannya untuk musim 2027, Marc Marquez pada mulanya secara berseloroh menyatakan peralihan kepada tayar baharu sebenarnya adalah perubahan yang paling menarik
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/17/20261 min read


JAGUH Ducati Lenovo, Marc Marquez menyenaraikan 3 nama pelumba yang dianggap sebagai perpindahan paling menarik menjelang era baharu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang akan beralih kepada jentera 850 cc dan penggunaan tayar Pirelli pada musim 2027.
Pelumba sensasi Sepanyol itu menjadi antara segelintir pelumba yang memilih untuk terus kekal bersama pasukan sedia ada selain Marco Bezzecchi di Aprilia.
Ketika ditanya mengenai pertukaran pasukan manakah yang paling menarik perhatiannya untuk musim 2027, Marquez pada mulanya secara berseloroh menyatakan peralihan kepada tayar baharu sebenarnya adalah perubahan yang paling menarik.
Begitupun, menyentuh mengenai dinamik barisan pelumba, juara dunia 9 kali itu meletakkan sensasi muda, Pedro Acosta yang dilaporkan bakal menjadi rakan sepasukannya selepas berhijrah dari KTM ke kem Ducati sebagai antara nama di dalam senarainya.
Selain itu, Marquez turut teruja untuk melihat percaturan bekas juara dunia dari pasukan Yamaha, Fabio Quartararo yang bakal mengambil langkah berani menyertai bekas pasukan lamanya, Honda.
Melengkapkan senarai tiga pilihan utamanya itu ialah rakan sepasukannya di Ducati ketika ini, Pecco Bagnaia yang bakal membuat penghijrahan untuk mengemudi jentera pencabar kejuaraan, Aprilia pada musim 2027.
"Sudah tentu Pedro adalah antara bakat paling menarik yang kini berpindah untuk menunggang jentera juara (Ducati). Turut menarik adalah untuk melihat bagaimana prestasi Fabio bersama Honda dan bagaimana pasukan itu membangunkan jentera baharu mereka," katanya.
Kata Marquez, jika Quartararo dan Acosta diberikan dengan jentera yang berdaya saing, kedua-dua mereka pasti akan mempamerkan prestasi menarik, sambil memuji kredibiliti Bagnaia sebagai pelumba yang hebat bersama Aprilia, sekali gus menjanjikan musim yang penuh mendebarkan.

