4 Mata Buat Hakim Danish Di Motegi

Selepas mengharungi minggu yang sukar pada Jumaat dan Sabtu di Motegi, Hakim Danish yang memulakan aksi di petak ke-21 berjaya menampilkan antara persembahan terbaiknya sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ke-12

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/4/20261 min read

KEBANGKITAN menarik dipamerkan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli apabila berjaya menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun 2026 di kedudukan ke-12 meskipun terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-21.

Mengharungi minggu yang sukar pada Jumaat dan Sabtu di Motegi, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu berjaya menampilkan antara persembahan terbaiknya pada perlumbaan 17 pusingan itu sebelum menamatkan perlumbaan dengan mengumpul 4 mata.

Memperoleh permulaan yang baik, pelumba kelahiran Terengganu itu meletakkan dirinya bersaing dalam kelompok ke-3 sebelum melepasi garisan penamat 21.273s di belakang pelumba pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa yang muncul juara.

Kemenangan Almansa turut menghalang pendahulu kejuaraan, Maximo Quiles daripada pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team untuk dinobatkan juara keseluruhan Moto3 lebih awal selepas terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat ke-2.

Pelumba pasukan Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe melengkapkan kedudukan podium.

Seperti diketahui, Hakim Danish berdepan kesukaran apabila terjatuh sebanyak tiga kali pada Jumaat dan Sabtu.

Keputusan di Motegi menyaksikan Hakim Danish kekal di tangga ke-7 keseluruhan carta kedudukan dunia Moto3 dengan mengumpul 105 mata.