4 Pelumba Berpotensi Julang Gelaran Dunia MotoGP 2025 Mengikut Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/17/20251 min read

KEHADIRAN Marc Marquez ke pasukan yang mendominasi saingan MotoGP dunia sejak beberapa tahun lalu, Ducati Lenovo menyaksikannya dilabel sebagai pencabar kejuaraan dunia musim ini.

Marquez mendapat tempat di pasukan 'kilang' Ducati Lenovo dengan menyisihkan juara dunia musim lalu, Jorge Martin tetapi ia disahkan sebelum bekas pelumba Pramac Ducati itu meraih gelarannya.

Tampil membuktikan kemampuannya selepas mengharungi kempen pra-musim yang positif termasuk menjadi pelumba terpantas di Buriram, Thailand, Marquez memberikan empat nama ketika ditanya mengenai siapa pencabar utama kejuaraan dunia musim ini yang difikirkan berpotensi.

"Sudah tentu kami akan cuba berusaha untuk mendapatkannya (kejuaraan dunia) tetapi saya tahu yang saya mempunyai rakan sepasukan yang amat bagus (Francesco Bagnaia), saya mempunyai rakan serumah yang amat kuat, adik saya Alex (Marquez) yang juga amat laju ketika ujian pra-musim," kata Marquez kepada MotoGP.com.

"Akan ada beberapa lagi pencabar yang boleh berada di situ (Pedro) Acosta, kita akan lihat (Jorge) Martin dan apa yang boleh dilakukan bersama Aprilia, dan jangan sesekali melupakannya kerana dia perlumba amat bagus dan (Marco) Bezzzecchi menunjukkan yang Aprilia bekerja dengan amat bagus."

Mengulas mengenai kempen pra-musimnya kali ini, Marquez mengakui ia sesuatu yang amat bagus.

"Ia bagus kerana kami sudah memulakannya dengan amat bagus sejak hari pertama di Malaysia," katanya. "Kemudian kami terus berusaha, kami mencuba banyak benda baharu kepada jentera, dan segala yang kami ada dalam senarai, simulasi Sprint, simulasi perlumbaan dan semuanya dilakukan.

"Jadi perkara yang paling penting juga adalah membabitkan aspek teknikal, ia amat jelas apa yang kami mahukan, masih ada beberapa komponen yang saya masih perlu memahaminya dengan lebih baik, tetapi saya gembira dan tidak sabar untuk memulakan musim."