5 Pelumba Kibar Cabaran Negara di Final Siri Dunia FIM MiniGP 2023 Berlepas Ke Valencia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/17/20231 min read

LIMA pelumba negara diketuai Farish Hafiy dan Qabil Irfan yang bakal mengibar cabaran Malaysia di pentas Final Siri Dunia FIM MiniGP 2023 Di Valencia, Sepanyol minggu depan selamat berlepas, semalam.

Selain Farish dan Qabil - yang masing-masing menjuarai kelas masing-masing dalam aksi MiniGP Malaysia musim ini, negara turut diwakili oleh Emil Idzhar, Adi Putra dan Airel Marzuki.

Faris, Emil dan Adi yang menggantikan Farres Putra yang mengalami kecederaan ketika perlumbaan Asia Talent Cup minggu lalu beraksi dalam kategori 190 cc.

Qabil dan Airel pula akan membawa cabaran negara dalam kelas 160 cc dengan perlumbaan berlangsung di Ricardo Tormo.

Sebagai info, kejohanan Final Siri Dunia FIM MiniGP adalah pelumbaan yang dikelolakan oleh Dorna yang juga promoter kejuaraan MotoGP.

Bagi Faris, Emil dan Adi, ini adalah penampilan kedua mereka di Final Siri Dunia FIM MiniGP selepas beraksi dalam kelas 160 cc tahun lalu. Selain itu, ia juga menjadi penampilan kedua Qabil, 11 tahun yang berjaya menamatkan aksi di tangga keempat terbaik musim lalu.

Selain Malaysia, antara negara yang turut memiliki wakil di kejohanan berkenaan adalah Australia, Austria, Kanada, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Portugal, Qatar, Sepanyol, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Untuk penyertaan pelumba negara bagi Final Siri Dunia FIM MiniGP tahun ini, pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata kelima-lima pelumba sudah dibekalkan dengan persiapan rapi bagi memastikan keputusan membanggakan dapat dicapai tahun ini.

Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir menyifatkan Kejuaraan FIM MiniGP Malaysia adalah langkah permulaan yang tepat dan platform yang terbaik untuk pelumba-pelumba muda negara namun perlu terus ditambahbaik.

"Perjalanan melahirkan para pelumba berkelas dunia adalah satu perjalanan yang panjang dan mencabar. Tiada jalan pintas mahupun formula ringkas dalam usaha melahirkan para pelumba berkelas dunia," katanya.