9 Mata Buat Hakim Danish Di Qatar

Keputusan di Lusail yang juga pusingan ke-20 MotoGP menyaksikan Hakim Danish kini mengumpul 125 mata untuk menghuni tangga ke-8 keseluruhan dalam carta kedudukan pelumba Moto3 dunia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/8/20261 min read

SEMBILAN mata diraih pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar 2026 di kedudukan ke-7, hari ini.

Pada aksi di Lusail yang mencetus kontroversi, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu memulakan perlumbaan di petak ke-7 tampak bergelut di awal perlumbaan malah pada satu ketika tercicir ke tempat ke-11 sebelum bangkit.

Dan berbaki kira-kira 3 pusingan, pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya mengejar kembali kelompok ke-2 pelumba yang menghuni kedudukan ke-4 hingga 6 yang diiisi Joel Kelso, Alvaro Carpe dan Veda Ega Pratama.

Tetapi ketika Hakim Danish dilihat mempunyai kelebihan, 'insiden' yang berlaku di pusingan terakhir menyaksikannya terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat ke-7, ketinggalan 7.315 saat (s) di belakang pemenang, David Almansa dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP.

Pelumba Sepanyol, Almansa yang tampil mendominasi memimpin perlumbaan dari awal hingga akhir menamatkan perlumbaan dengan catatan 33 minit 09.479s.

Tempat ke-2 menjadi milik pelumba Leopard Racing, Adrian Fernandez, ketinggalan 2.516s dengan pelumba pasukan CFMOTO Aspa, Maximo Quiles melengkapkan kedudukan podium.

Pelumba Indonesia daripada Honda Team Asia, Veda Pratama meraih tempat ke-4.

Selepas 20 pusingan, Hakim Danish kini mengumpul 125 mata untuk menghuni tangga ke-8 keseluruhan dalam carta kedudukan pelumba Moto3 dunia.