9 Mata Untuk Hakim Danish Di Assen
Bermula di petak ke-16, Hakim Danish mempamerkan kebangkitan apabila berjaya menyertai kelompok pendahulu malah pada satu ketika berada kedudukan kedua dan sentiasa bersaing sengit bagi mengisi kedudukan podium
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/28/20261 min read


HASRAT pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli untuk berada podium di Grand Prix (GP) Belanda 2026 tidak kesampaian dan terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan yang berlangsung cukup menarik dengan membawa pulang 9 mata.
Bermula di petak ke-16, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mempamerkan kebangkitan apabila berjaya menyertai kelompok pendahulu malah pada satu ketika berada kedudukan kedua dan sentiasa bersaing sengit bagi mengisi kedudukan podium.
Begitupun berbaki 2 perlumbaan, pelumba kelahiran Terengganu itu yang pada ketika itu berada di tempat ke-3 terpaksa melepaskan kedudukannya atas faktor yang tidak dapat dielakkan.
Situasi itu menyaksikannya dipintas beberapa pelumba sebelum melintasi garisan penamat di tempat ke-10 dengan catatan 33 minit 56.275 saat (s).
Bagaimanapun selepas keputusan rasmi dikeluarkan, Hakim Danish dinaikkan ke tangga ke-7susulan beberapa pelumba di hadapannya dikenakan penalti.
Kemenangan di Assen menjadi milik pelumba CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles dengan David Almansa dari Liqui Moly Dynavolt Intact GP di tempat ke-2.
Rakan sepasukan Quiles, Marco Morelli melengkapkan kedudukan podium.
Keputusan menyaksikan pelumba berusia 18 tahun itu naik ke tangga k-6 keseluruhan carta kedudukan pelumba Moto3 dengan 82 mata.
Hakim Danish pada minggu lalu mencipta sejarah apabila memenangi GP Rep. Czech di Brno yang juga kemenangan sulungnya di pentas Moto3 selain turut menamatkan penantian sedekad Malaysia untuk kembali memiliki juara di Kejuaraan Motosikal Dunia.

