9 Perkara Mampu Buat Anda 'Sangkut' Dengan Yamaha TMax Tech Max

REVIU

12/31/20234 min read

YAMAHA TMax Tech Max generasi terbaharu 'mendarat' di pasaran Malaysia dengan angka jualan sekitar RM 75k (asas) namun sebagai skuter aras perdana jenama pengeluar Jepun itu, ia tetap laris bak 'pisang goreng panas' ketika pelancarannya.

Seperti model-model aras tinggi lain, Yamaha TMax Tech Max yang diberi julukan 'Ultimate scooter' oleh Yamaha ini sentiasa menjadi bahan perbandingan mahupun perdebatan.

Baru-baru ini, kami di MotoDotMy.com bertuah diberi peluang oleh Hong Leong Yamaha Motor untuk menguji jentera idaman ramai peminat skuter ini.

Jadi apa pandangan kami mengenainya? Ini 9 perkara yang kami rasakan mengapa ia memang mampu mengundang rasa terliur peminat skuter mengenai skuter ini. Jom

1. Rekaan Yang 'Umph'

Jika melihat kepada rekaan TMax generasi terdahulu dan terkini, ia cukup jauh berbeza dan Yamaha nampaknya cuba lari dari tipikal skuter dan menariknya, ia berhasil.

Perlu diakui ada sedikit rasa pelik terasa ketika sekadar melihat gambar tatkala debutnya di Eropah, tetapi rasa itu hilang sebaik melihatnya di depan mata ketika pelancarannya di Malaysia.

Tidak lagi terlalu 'gemuk' tipikal skuter maxi, penampilan Yamaha TMax Tech Max kini lebih 'Sporty', runcing dan 'tajam' yang berjaya membuatkannya makin menonjol.

2. Trenkuasa Padu, Diyakini

Sebagai model aras tinggi, Yamaha TMax Tech Max dipadankan dengan enjin bersesaran 562 cc. Sekalipun angkanya tidak begitu mengagumkan, tetapi percayalah, angka itu mencukupi untuk sebuah skuter.

Tipikal skuter, ia tidaklah perlu terlalu berkuasa seperti model-model aras perdana yang lain dan dengan Yamaha TMax Tech Max, kuasanya berupaya mengagumkan.

Dan ia lebih menarik jika anda memang penggemar skuter dan beralih daripada segmen suku liter ke cc lebih tinggi, kuasa yang ada pada TMax memang boleh memberikan 'senyuman' dalam setiap pulasan terotel.

Menggunakan ‘belting’ sebagai pemacu, ia menjadikan kuasa di awal seperti 'instant' dan menyeronokkan dengan hantaran kuasanya lancar dan sentiasa ada terutama ketika diperlukan.

Dengan kuasa dimiliki, penulis berjaya 'merembat' skuter ini pada kelajuan tertinggi 170 km/j tetapi kepada yang lebih 'kering', rasanya ia mampu pegi lebih laju dari itu.

3. Tunggangan Yang Selesa

Meluncur di lebuh raya diakui memang antara kekuatan Yamaha TMax terutama dari sudut keselesaan dan kestabilan.

Dengan kaliber dan saiznya, ia memang boleh menjadi jentera 'Touring' yang cukup baik ditambah dengan rekaannya yang kini lebih aerodinamik dan 'Sporty'.

Selain itu, Yamaha TMax Tech Max juga mempunyai ergonomik yang baik dengan kedudukan bar hendal, pemijak dan pelana memang berada pada kedudukan yang sepatutnya. Begitupun, ada rakan media yang memiliki ketinggian lebih 180 cm merasakan ia tidak begitu selesa namun bagi penulis (172 cm), ia cukup sesuai dan rasa penat di atas pelana memang minimum.

4. Pelana Yang Selesa

Tak susah untuk menjangkakan palana yang dipadankan dengan Yamaha TMax Tech Max ini memang selesa. Dengan saiz ala 'Sofa' dan material yang digunakan, ia memang empuk dan lembut.

Selain itu, pelana turut memiliki ciri pemanas selain terotel. Sekalipun ia nampak seperti tidak perlu dengan cuaca di Malaysia, tetapi percayalah ia diperlukan jika anda menunggang di waktu malam atau hujan.

5. Kualiti Binaan Boleh Dipuji

Yamaha memang menitik beratkan sudut ini terutama untuk model aras tingginya. Panel plastik yang digunakan, termasuk segala 'butang' memang menggunakan material berkualiti.

Selain itu, pilihan warna dan grafik memang nampak eksklusif dan mahal dengan logo yang ditanam, bukannya pelekat.

6. Teknologi Yang Canggih

Seperti skuter moden lain, Yamaha TMax Tech Max menggunakan sistem 'Ride-by-Wire' dan dipadankan dengan teknologi yang canggih.

Untuk perahan terotel yang lancar, skuter ini menggunakan Yamaha Chip Controlled Throttle (Y-CCT) dan Accelerator Position Sensor Grip (APSG) dan antara ciri bantuan tunggangan elektronik tersedia termasuklah mod tunggangan (Touring, Sport) serta Kawalan Traksi.

Sistem kunci pintar yang dipadankan dengan Yamaha TMax Tech Max boleh dikatakan antara tercanggih di pasaran dan penggunaannya juga mudah serta tak memeningkan kepala.

7. Panel Meter TFT Besaiz 7 Inci

Menerusi skrin TFT 7 inci yang dipadankan kepada Yamaha TMax Tech Max, ia membolehkan pemiliknya mengakses pelbagai fungsi seperti navigasi (Garmin), panggilan telefon dan pemain muzik.

Dengan ciri sambungan ke telefon pintar, ia turut memiliki konektiviti wifi dan bluetooth selain sambungan dengan peranti perbualan.

Untuk melakukan tetapan pada panel meter juga mudah kerana skuter ini dibekalkan dengan 'joystick' selain butang konvensional.

8. Visor Angin Boleh Laras Elektrik

Ia mungkin nampak remeh tetapi memiliki visor angin dengan tetapan secara elektrik memang diperlukan untuk sebuah skuter, terutama dengan status seperti Yamaha TMax Tech Max.

Apa yang perlu diakui adalah ia memang memudahkan dan meningkatkan sistem pengurusan angin terutama ketika melakukan aktiviti penjelajahan.

9. Ada Kawalan Jelajah 'Auto cruise'

Mungkin ada yang tidak bersetuju tetapi sistem Kawalan Jelajah ketika ini boleh dikatakan ciri yang diperlukan terutama jika anda menunggang sebuah motosikal atau skuter aras tinggi.

Untuk Yamaha TMax Tech Max, ciri Kawalan Jelajah yang dipadankan kepada cukup baik, berfungsi dengan mudah. Untuk melakukan tetapan cukup mudah dan sistemnya berfungsi serta merta ketika diakses.

Sebagai tambahan, Yamaha TMax Tech Max memiliki sistem suspensi dan brek 'Stok kilang' yang baik.

Brek cakera kembar 267 mm dengan kaliper 4 pot - depan, cakera tunggal 282 mm dirasakan setaraf dengan kemampuan skuter ini. Selain itu, sistem brek pegun mirip ciri 'hand brake' di kereta ketika di posisi berhenti juga memang memudahkan, terutama ketika di laluan sedikit berbukit.

Kesimpulan

Dengan senarai yang kami berikan, memang susah untuk kami nafikan yang Yamaha TMax Tech Max memang mampu mengundang rasa terliur pengguna atau peminat skuter, tak kira apa jenama yang mereka minati.

Malah setiap kali menunggangnya, penulis dapat melihat sendiri pasti akan ada jelingan manja diperoleh malah ketika berhenti di lampu isyarat, ada yang meminta pandangan mengenainya.

Tetapi perkembangan terbaharu, skuter aras perdana Yamaha ini dikatakan bakal mendapat pesaing dengan kaliber yang sama tak lama lagi. Memang menarik untuk disaksikan.