'ABANG Besar' MT, CFMoto 1000MT-X Tiba Di Malaysia, RM 51,888!

Sebagai model paling berkuasa dalam keluarga MT, CFMoto 1000MT-X dipadankan dengan enjin bersesaran 948.2 cc Parallel Twin, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual

PELANCARAN

6/4/20261 min read

SEPERTI dijanjikan, CFMoto Malaysia melancarkan model berkuasanya dalam 'keluarga' MT, CFMoto 1000MT-X di pasaran Malaysia bersama pengumuman harga jualan menarik RM 51,888 (asas).

Dan pentas pelancaran model yang membuat debut di pentas berprestij EICMA 2025 di Itali, tahun lalu adalah di acara MotoXperience sempena MBS 2026.

Kepada yang masih ingat, pihak media Malaysia berpeluang untuk menyaksikan CFMoto 1000MT-X ketika lawatan ke ibu pejabat CFMoto di Hangzhou China pada tahun lalu dan antara maklumat dibawa balik adalah ia akan dilancarkan pada tahun ini.

Sebagai model paling berkuasa dalam keluarga MT, CFMoto 1000MT-X dipadankan dengan enjin bersesaran 948.2 cc Parallel Twin, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 113 Hp pada 8,500 rpm dan tork 105 Nm pada 6,250 rpm.

Dan menariknya, enjin yang dipadankan kepada CFMoto 1000MT-X adalah enjin yang sama digunakan oleh KTM untuk model KTM 990 Duke.

Sebagai model aras tinggi, CFMoto 1000MT-X padat dengn pelbagai teknologi moden. Menggunakan sistem 'Ride-by-wire', ia turut dilengkapi 'Quickshifter', klac 'Slipper', ada mod tunggangan (5 Mod), 3 tahap Kawalan Cengkaman (TCS), Cornering ABS dan Kawalan Jelajah atau 'Cruise Control'.

Suspensi menggunakan fork USD (depan) penyerap hentak tunggal jenama KYB boleh laras (belakang). Sistem brek pula menggunakan kaliper jenama Brembo dengan cakera kembar 320 mm (depan) dan brek cakera tunggal (belakang).

Perincian lain:

  • TPMS

  • Tangki bahan api 22.5 liter

  • Panel meter TFT 8 Inci

  • Rim jejari 21 inci (depan), 18 inci (belakang)

  • Tinggi pelana 830 mm - 870 mm

  • Visor angin boleh laras

  • Berat 222 kg