'ABANG Laju Sangat'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/1/20251 min read

ALEX Marquez mengakui adalah sukar untuk memintas pemenang Perlumbaan Sprint Grand Prix Thailand 2025 yang juga abangnya, Marc Marquez.

Menurut pelumba pasukan satelit Ducati itu, juara dunia lapan kali itu 'terlalu laju'.

Keluarga Marquez begitupun tetap mencipta sejarah apabila menjadi adik beradik pertama menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua di MotoGP.

Memulakan perlumbaan di petak kedua, Alex berkata situasinya bertambah sukar kerana selain cuba untuk mengejar abangnya yang juga pelumba Ducati Lenovo, dia juga perlu menguruskan jurang dengan seorang lagi pelumba pasukan itu, Pecco Bagnaia.

"Kunci kepada setiap perlumbaan Sprint, terutama ketika ia berlangsung dalam keadaan panas, adalah permulaan dan pusingan pertama," kata Alex.

"Saya memperoleh permulaan yang baik tetapi kemudian Pecco (Francesco Bagnaia) menyerang saya, tetapi pada selekoh 1 saya memperoleh tunggangan yang baik. Jadi saya berkata, Ok, tunggu, tenang, dan cuba untuk melakukan gerakan yang baik di situ, dan saya berjaya.

"Sejak daripada selekoh 5 saya sedar yang Marc (Marquez) agak terlalu laju untuk kami, jadi saya cuba untuk mengejarnya semampu saya.

"Saya hampir dengannya, untuk beberapa pusingan, saya memperoleh rentak yang baik, tetapi kemudian, dengan berada di sana, kamu mula memperoleh masalah dengan tayar depan dan saya melihat jurang saya dengan Pecco dan cuba untuk menguruskan jurang itu dan perlu pergi sehingga akhir tanpa melakukan sebarang kesilapan."

Alex dalam pada itu menjelaskan berada di belakang abangnya membenarkannya untuk belajar sesuatu.

"Saya mengambil garisan perlumbaannya, terutama untuk menguruskan tayar di mana dia menggunakan laluan yang berbeza dan saya dapat melihat sebahagian daripadanya," kata Alex yang menjangkakan tugas lebih sukar menanti pada Perlumbaan GP terutama untuk mengekang Bagnaia.