'ABANG' Modenas Elegan 250, AK550 Dalam Perjalanan, Pelancaran Tahun Ini?

TULAR

9/19/20231 min read

SELAIN Ninja ZX-25R, antara yang kerap ditanya kepada Modenas khususnya dalam segmen skuter adalah bila syarikat pengeluar motosikal nasional itu akan mengeluarkan 'abang' kepada skuter maxinya, Modenas Elegan 250.

Dan selepas 'hype' membabitkan kehadiran Modenas Ninja ZX-25R SE mulai mengendur seketika ketika ini susulan pelancarannya, persoalan mengenai skuter maxi itu kembali hangat.

Kepada yang tak tahu, Modenas Elegan 250 termasuk versi terbaharu, EX adalah model yang dijenamakan semula oleh Modenas daripada skuter keluaran syarikat Taiwan, Kymco hasil kerjasama strategik kedua-dua syarikat.

Sebenarnya, perkhabaran mengenai kehadiran 'Abang' kepada Modenas Elegan 250 ini bukan sesuatu yang baru dan pernah dikeluarkan media sebelum ini.

Malah pengurusan tertinggi Modenas dikatakan sudah beberapa melakukan 'perjalanan' ke negara pengeluar skuter itu untuk menilai sendiri keupayaan skuter berkenaan.

Dan difahamkan serta menurut maklumat yang diperoleh, model skuter aras tinggi yang akan dibawa masuk itu adalah Kymco AK550 yang juga antara pesaing hebat buat Yamaha TMax. Lebih menarik, model yang akan dibawa masuk adalah versi tertinggi skuter berkenaan yang lengkap dengan pelbagai 'jajan' menarik.

Mengulas ringkas mengenai Kymco AK550, ia adalah skuter maxi premium yang dipadankan dengan enjin bersesaran 550 cc, 2 Silinder, 8 Injap yang dipadankan dengan transmisi automatik CVT. Kuasa yang dihamburkan adalah sekitar 51 Hp dan tork 55 Nm.

Seperti skuter maxi moden lain, ia dipadankan dengan teknologi 'ride by wire' (Electronic Throttle System). Sistem bantuan tunggangan elektronik yang dipadankan termasuklah Kawalan Traksi dan Kawalan Jelajah 'Cruise control’.

Di bahagian panel meter, ia menggunakan panel meter jenis TFT berwarna yang lengkap dengan sambungan ke telefon pintar.

Ciri-ciri lain termasuklah sistem lampu LED penuh termasuk lampu siang (DRL), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), visor angin boleh laras elektronik, port pengecas USB dan sistem tanpa kunci (keyless).

Setakat ini, Modenas masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenainya namun berdasarkan maklumat yang diperoleh, ia berkemungkinan akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Dan apa yang lebih menarik, jika ia dijenamakan semula kepada Modenas, harga yang ditawarkan berkemungkinan cukup menarik.

Ini kerana menurut rakan media automotif tempatan, skuter itu sudah pun selesai proses VTA Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jadi untuk perkembangan seterusnya, jangan lupa ikuti kami.