ACARA drag ragut nyawa 'Joki' ESR, Hattem Rashdi adalah latihan, Tak Perlu Sanksi MAM - MUSC Motor

TERKINI

9/6/20231 min read

PENGANJUR acara perlumbaan drag, MUSC Motor menegaskan kejadian malang yang meragut nyawa 'Joki' ESR, Hattem Rashdi terjadi ketika latihan dan tidak memerlukan kelulusan atau 'Sanksi' daripada badan induk MAM.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, MUSC Motor yang juga kelab yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 berkata pihaknya sudah mematuhi garis panduan yang ditetapkan untuk acara berkenaan.

"Penganjuran program sukan tempatan oleh Badan Sukan ( Kelab yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 ) tidak perlu mendapatkan kelulusan dari Pesuruhjaya Sukan (PJS) berkuatkuasa 10 April 2023 , namun hendaklah mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia seperti berikut.

"Pertamanya adalah mendapatkan kebenaran dari Pihak Berkuasa Tempatan, mendapatkan kebenaran dari pemilik tapak lokasi dan terakhir mendapatkan perlindungan insuran bagi menjamin perlindungan peserta."

Justeru, menurut MUSC, penganjuran program latihan sukan bermotor tidak perlu mendapatkan sanksi dari Motorsport Association of Malaysia (MAM) sepertimana yang pernah dimaklumkan oleh pihak MAM sendiri menerusi sesi-sesi perbincangan di antara wakil MAM dengan kelab MUSC dan beberapa pemegang taruh (pihak penganjur) yang lain.

Dan MUSC Motor menegaskan yang program latihan sukan bermotor iaitu Test N Tune Malaysia Drag Bike ET Record 2023 anjuran Kelab Musc yang berlangsung di Litar Pekan Speedway, Pahang pada 2 & 3 September 2023 baru-baru ini mematuhi garis panduan seperti dinyatakan.

"Kemalangan peserta Mohd Hattem Rashdi berlaku ketika sesi ujian latihan ' single-run di mana beliau telah hilang kawalan ke atas jenteranya disebabkan oleh masalah teknikal injin jentera tersebut.

"Pihak kami telah pun berjumpa dengan waris serta mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kejadian ini dari awal sehingga akhir, tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak yang ada turut ada kaitan," katanya.

Justeru, MUSC Motor berkata pihaknya akan mengambil segala langkah penambahbaikan yang sewajarnya untuk memperbaiki aspek keselamatan semasa demi memartabatkan lagi program latihan Test N Tune.