ADA Bincang Dengan Repsol Honda, Tapi Saya Tak 100 Peratus Yakin - Zarco

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/23/20231 min read

JUARA MotoGP Grand Prix Australia 2023, Johann Zarco mengesahkan pihaknya ada menghubungi Repsol Honda berhubung 'kerusi' bersama pasukan 'Factory' Honda itu namun maklum balas yang diterima tak meyakinkan.

Zarco mencipta sejarah peribadi dengan menjuarai gelaran MotoGP sulungnya daripada 120 perlumbaan di Phillip Island, Sabtu lalu.

Pelumba kelahiran Perancis yang juga bekas juara dunia Moto2 itu sah meninggalkan Pramac Ducati musim depan untuk menyertai pasukan satelit Honda, LCR.

Begitupun, 'kekalutan' yang dicipta Marc Marquez dengan meninggalkan Repsol Honda untuk 'turun pangkat' menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini membuatkan Honda 'pening kepala' untuk mencari pengganti berkaliber.

"Saya tak boleh mengetepikan peluang daripada pasukan 'Factory'," kata Zarco kepada Sky. Saya perlu berfikir mengenainya dan (Lucio) Cecchinello (Pemilik LCR) menghormatinya.

"Pengurus saya, kedua-duanya di Indonesia dan di sini Australia bercakap dengan pasukan 'Factory' (Repsol Honda).

"Kami melihat mereka mempunyai keraguan dan saya tidak menggemarinya.

"Jadi, keutamaan saya adalah untuk menghormati komitmen dengan Lucio, berbanding untuk berlumba dengan pasukan 'Factory' bersama pasukan dengan projek yang saya tidak 100 peratus yakin."

Zarco dalam pada itu turut mengulas pendirian Cecchinello yang sebelum ini jelas menyatakan pendiriannya yang tidak mahu kehilangan mana-mana pelumbanya.

"Lico adalah individu yang baik, dia bekerja dengan amat serius dan betul. Dia sudah menguruskan pasukan satelit selama bertahun-tahun, dan bekerjasama dengannya adalah peluang yang menakjubkan.

"Baginya juga, saya adalah seorang pelumba yang amat kompetitif, bersaing untuk kedudukan lima terbaik dalam kejuaraan dan penting kepada pembangunan Honda."