ADA Kelebihan, Kekurangan Guna Ducati Panigale VR4 - Hafizh Syahrin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/7/20242 min read

ADA kelebihan dan kekurangan. Itu kata pelumba berpengalaman negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengulas kedudukannya sebagai pelumba tunggal menunggang jentera Ducati Panigale V4R di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Hafizh dan pasukannya, JDT Racing Team membuat penampilan sulung di kejuaraan berprestasi Asia itu musim ini yang dijadual menyambung aksinya di Pusingan 3 di Motegi, Jepun hujung minggu ini.

Menghuni tangga ke-4 keseluruhan kelas elit ASB1000 selesai dua pusingan (Thailand dan China), ia boleh dikatakan keputusan yang baik bagi pelumba 'rookie' namun ada berpandangan ia berikutan kemampuan jentera yang digunakan Hafizh.

"Saya percaya menjadi satu-satunya pasukan menggunakan jentera Ducati memiliki kelebihan dan kekurangan," kata pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu.

"Kami juga pasukan yang baru, jadi asasnya, kami tidak mempunyai sebarang data untuk dijadikan panduan. Tetapi kami juga menerima sokongan yang baik daripada Ducati dan bersyukur kerananya.

"Jentera Ducati memang berkuasa, tiada keraguan mengenainya. Tetapi kami memerlukan masa untuk mempelajarinya terutama untuk mengendalikannya.

"Saya tidak mahu berkata yang jentera kami memiliki kelebihan berbanding jentera lain sekalipun benar enjinnya mempunyai kuasa yang lebih baik.

"Ini kerana perkara paling utama adalah pengendalian kerana jika kami tidak mengubahnya, kami tidak akan mencapai hasil yang kami inginkan.

"Secara peribadi, saya fikir semua pelumba dan jentera berada pada tahap optimum dan persaingan di antara kami memang hebat pada dua pusingan sebelum ini," kata bekas pelumba MotoGP negara itu.

Untuk ARRC, ini adalah kali pertama kejuaraan itu berlangsung di Motegi namun tidak bagi beberapa pelumba termasuk Hafizh yang pernah beraksi di venue berkenaan sebelum ini.

"Kesemua litar boleh dikatakan sebagai baru untuk kami kerana pasukan kami masih baru dalam kejuaraan ini. Begitupun kami melihat peningkatan yang hebat di antara Pusingan 1 dan Pusingan 2 dan ia permulaan yang baik.

"Sebagai pelumba berpengalaman, saya mempunyai banyak informasi. Tetapi berlumba dengan pelumba-pelumba Asia lain tidak sama seperti berlumba dengan pelumba bintang Asia yang turut memiliki pengetahuan dan pengalaman terutama di pentas Asia.

"Mereka mengetahui tayar dengan amat baik, jadi apa yang kami boleh buat adalah kami perlu bekerja dengan amat pantas untuk mendapatkan keserasian.

"Secara peribadi, saya fikir kesemua pelumba dan jentera berada pada tahap optimum dan persaingan di antara kami memang hebat pada dua pusingan sebelum ini.

"Tetapi ayuh kita lihat di Motegi. Ia adalah salah satu litar kegemaran saya jadi kami berharap untuk mengumpul lebih banyak data," katanya.

Mengakui cabaran yang dihadapi di ARRC sebagai mengujakan, Hafizh menjelaskan pasukannya tidak meletakkan sasaran setinggi gunung.

"Pada tahun ini, kami tidak mengharapkan apa-apa selain yang terbaik. Ketika ini, kami berada di kedudukan ke-4 keseluruhan," kata Hafizh.

"Kami tidak jauh daripada pendahulu perlumbaan dan jika kami melakukan yang terbaik menjelang pertengahan kejuaraan, saya yakin kami boleh bersaing merebut kejuaraan.

"Ketika ini, saya lebih fokus kepada mempertingkatkan diri saya dengan jentera dan membantu pasukan semampu saya untuk mendapatkan data yang relevan dan informasi," katanya.