ADA Yang Buat Aduan - Toprak Razgatlioglu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/15/20241 min read


PELUMBA ROKiT BMW Motorroad, Toprak Razgatlioglu menjelaskan dia mempunyai sebab tersendiri mengapa meraikan kemenangan di Donington Park, UK dengan cara agak pelik terutama ketika Perlumbaan Superpole dan 2.
Pelumba Turki, Razgatlioglu memperoleh minggu sempurna di Pusingan 5 WSBK di UK selepas merangkul kemenangan 'treble' mengikuti kejayaan yang turut dilakar di Misano, Itali sebelum ini.
Begitupun, kejayaan hebat itu dikatakan mencipta 'panas' beberapa pasukan pencabar yang mempersoalkan ketinggian tempat duduk Razgatlioglu yang didakwa terlalu rendah.
Juara dunia WorldSBK itu tampak tidak mampu dicabar apabila menamatkan Perlumbaan 1 dengan margin cukup besar, 11.384 saat (2) di depan pencabarnya diikuti 4.826s (Perlumbaan Superpole) dan 8.062s (Perlumbaan 2).
Dan ketika meraikan kemenangan itu, Razgatlioglu melakonkan babak drama seperti sedang melalui 'Pemeriksaan Teknikal' dan melepasinya.
"Ia mudah untuk diterangkan (sambutan)... Malam semalam ada beberapa pasukan berkata tempat duduk rendah saya tidak dibenarkan," kata Razgatlioglu.
"Kami mengubah sedikit pelana itu dan hari ini kami mengharungi dua perlumbaan, dan menang lagi.
"Apapun, semua orang cuba lebih dariapda 100 peratus. Saya faham yang tidak mudah untuk semua orang kerana ini adalah kejuaraan dunia."
Kemenangan hatrik di Donington Park menyaksikan Razgatlioglu kini mengharungi tujuh perlumbaan tanpa kalah dan dia masih belum puas dengan apa yang dicapainya.
"Ia bagus... tetapi saya mahu lebih! Kami mempunyai banyak perlumbaan... Sasaran saya setiap perlumbaan adalah untuk meraih tiga kemenangan.
"Perasaannya menakjubkan. Selepas Misano, kami melakukannya sekali lagi. Ini adalah tahun yang menakjubkan untuk saya dan BMW. Ini adalah cabaran baharu dan setiap minggu perlumbaan kami menjadi lebih baik dan kuat.
"Sebelum datang ke sini, saya hanya berfikir mengenai tiga kemenangan sekali lagi, seperti Misano. Kerana ini adalah litar kegemaran saya dan jentera berfungsi dengan cukup menakjubkan di sini, terutama brek enjin dan mengambil selekoh.
"Saya memerlukan perkara ini, berhenti dengan mudah dan pecutan yang baik.
"Cengkaman tidak begitu mengujakan tetapi secara keseluruhan jentera berkerja dengan amat bagus dan perkara seperti ini mudah untuk saya menayangkan potensi saya," kata Razgatlioglu yang ketika ini memimpin carta kejuaraan dengan kelebihan 41 mata di depan pencabar terdekatnya dari Ducati, Nicolo Bulega.
Perlumbaan Pusingan 6 WSBK 2024 dijadual berlangsung di Republik Czech minggu ini.
