ADAM Dijadual Uji Jentera Honda CBR1000RR-R WorldSBK Di Portugal, Dah Pulih 100 Peratus!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/27/20241 min read

TIDAK menguji Honda CBR1000RR-R di Jerez, Sepanyol ketika sesi ujian rasmi WorldSBK dua hari lalu, pelumba negara, Adam Norrodin dijadual mengharungi sesi ujian tertutup di Portugal, minggu depan.

Beraksi dalam saingan WorldSSP musim lalu, Adam yang juga bekas pelumba Moto3 dan Moto2 negara 'Naik pangkat' ke kelas perdana WorldSBK musim ini bersama pasukan PETRONAS MIE Racing Honda.

Banyak bergelut dengan masalah kecederaan bahu dan lutut pada musim lalu, pelumba kelahiran Johor itu berkata dia kini sudah 100 peratus pulih dan tidak sabar untuk menguji jenteranya di Portimao, memetik laporan BHarian.

"Saya mengalami kecederaan sebelum ini (musim lalu) di bahagian bahu dan sekarang ini sudah pulih sepenuhnya," kata Adam dalam laporan berkenaan.

"Tidak ada lagi rasa sakit dan saya juga dapat menunggang dengan baik. Saya juga tiada masalah untuk memecut laju dengan jentera 1000 cc ketika berlatih di Sepang sebelum ini," kata Adam yang menjalani proses pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN).

Dalam pada itu, Adam mengharapkan pasukannya berupaya menyediakan jentera terbaik untuknya mengharungi saingan musim ini selepas dilihat bergelut pada musim lalu.

"Sudah pasti saya mengharapkan peningkatan terhadap jentera terutama dari sudut casis dan juga komponen elektronik. Pada musim lalu casis dan elektronik menjadi antara masalah kepada pasukan.

"Apapun, saya yakin yang pasukan mampu mengatasi masalah berkenaan dan mencari pelarasan terbaik sebelum bermulanya perlumbaan di Australia nanti," katanya.

Adam pada tahun lalu menamatkan kempen WorldSSP di tangga ke-25 keseluruhan selepas mengumpul keseluruhan 20 mata.

Perlumbaan WorldSBK dijadual membuka tirainya di Litar Phillip Island, Australia bulan depan.