ADAM, KIP Masih 'Positif'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/17/20241 min read

PUSINGAN 4 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 di Misano, Itali yang berakhir, semalam jelas menghadirkan pengalaman sukar buat dua pelumba negara, Adam Norrodin dan Khairul Idham Pawi.

Beraksi dalam kelas perdana WorldSBK dan bersaing bersama pelumba seperti Toprak Razgatlioglu dan Alvaro Bautista, Adam yang berlumba bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda sekali lagi menamatkan kempen tanpa pungutan mata.

Menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R, pelumba kelahiran Johor itu menamatkan Perlumbaan 1 di tangga ke-20 diikuti kedudukan ke-21 pada aksi Superpole sebelum kemalangan pada Perlumbaan 2.

Keputusan menyaksikan Adam kekal sebagai satu-satunya pelumba sepenuh masa di WorldSBK yang belum mengutip sebarang mata kejuaraan setakat ini.

Mengulas prestasinya semalam (Ahad), bekas pelumba Moto3 dan Moto2 itu mengakui dia bergelut untuk mengekalkan kelajuan yang menyaksikannya ketinggalan daripada kumpulan perlumbaan.

"Apabila kami cuba untuk menjadi lebih laju, ketika itulah masalah mula tiba," kata Adam. "Dan tidak banyak yang boleh diperkatakan pada Perlumbaan 2.

"Saya merasa agak yakin terhadap jentera pada permilaan, kerana kami melakukan beberapa perubahan yang nampaknya meningkatkan kemampuan jentera ketika mengambil selekoh.

"Saya berusaha keras untuk cuba kekal bersama pelumba di depan sebelum saya kehilangan kawalan bahagian tayar depan di selekoh 2 dan malangnya tidak dapat meneruskan perlumbaan.

"Jadi ia bukan keputusan yang kami mahukan, tetapi penambahbaikkan daripada pusingan sebelumnya jelas dan saya mula merasa lebih selesa dengan jentera," kata Adam.

Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai KIP dalam pada itu mengakui turut bergelut dengan pelarasan jenteranya Honda CBR600RR dalam kedua-dua perlumbaan WorldSSP yang ditawarkan di Itali.

"Saya bergelut dengan tayar belakang pada perlumbaan hari ini (Perlumbaan 2), yang bermakna perasaan dengan jentera benar-benar berbeza berbanding semalam (Perlumbaan 1)," kata KIP.

"Jelas ia bukan keputusan yang kami mahukan tetapi harapnya kami boleh melakukan sesuatu yang lebih baik pada pusingan berikutnya. Kami akan terus bekerja keras," kata pelumba kelahiran Perak itu.