ADAM Norrodin Akui Kecewa Prestasi Di Perlumbaan 1 WorldSBK Catalunya 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/24/20241 min read

PELUMBA WorldSBK negara, Adam Norrodin tidak lagi dapat menyembunyikan perasaan kecewanya selepas menamatkan Perlumbaan 1 WorldSBK 2024 di Catalunya di kedudukan ke-20.

Bergelut pada hari pertama latihan, pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda itu mengharapkan situasi bertambah baik pada sesi Sabtu namun sekali lagi terpaksa menghuni petak tercorot di Barcelona.

Sekalipun berdepan masalah membabitkan pelarasan jentera, pelumba kelahiran Johor itu berjaya menamatkan perlumbaan namun menghuni kedudukan ke-20 bukanlah sesuatu peningkatan.

"Sejujur-jujurnya, saya agak kecewa selepas perlumbaan pertama WorldSBK di Barcelona. Saya kecewa dengan jurang dengan kelompok depan dan saya berdepan banyak masalah dengan tayar belakang, malah hampir terjatuh pada selekoh pertama.

"Nampaknya jika tayar belakang tidak memberikan sebarang kelebihan, jadi amat sukar untuk menguruskan kelajuan sepanjang perlumbaan.

"Kami perlu menganalisa apa yang berlaku dan berharap dapat memperbaikinya esok (hari ini).

"Apapun terima kasih kepada pasukan dan kami akan terus bekerja keras untuk bersedia bagi perlumbaan seterusnya," kata Adam.

Pada aksi Pusingan 1 di Phillip Island, Australia sebelum ini, Adam yang beraksi menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R turut bergelut dan menghuni kedudukan belakang pada ketiga-tiga perlumbaan.