ADAM Norrodin Dah Uji Jentera Honda CBR1000RR-R WorldSBK Di Jerez, Tapi Belum Cergas 100 Peratus!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/25/20231 min read
PELUMBA negara, Adam Norrodin selesai mengharungi ujian WorldSBK selama dua hari di Jerez, Sepanyol, baru-baru ini sekalipun masih dibelenggu masalah kecederaan.
Menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R spesifikasi musim ini, ujian yang dijalankan oleh pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda itu lebih tertumpu untuk mendapatkan keserasian kepada jentera 'Superbike' aras tinggi Honda itu.
Mengulas sesi ujian yang dijalankan, pelumba kelahiran Johor itu menjelaskan yang dia masih belum 100 peratus cergas terutama di bahagian bahu ketika menunggang.
"Sasaran saya untuk ujian ini adalah untuk mendapatkan keserasian dengan jentera, yang memang kami lakukan tetapi keadaan fizikal saya mengehadkan berapa banyak pusingan yang boleh kami lakukan kerana kekuatan tangan saya cukup minimum dan cepat penat sekalipun dalam tempoh yang singkat.
"Saya akan meneruskan latihan fisioterapi dan pemulihan tetapi ia akan menjadi proses yang panjang.
"Jadi saya akan berjumpa dengan doktor saya di Malaysia untuk melihat apa yang boleh kami lakukan untuk mempercepatkan proses pemulihan ini.
"Apapun, terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan, kerana mereka bekerja dengan amat keras pada minggu ini. Fokus saya untuk beberapa minggu akan datang adalah untuk proses pemulihan fizikal.
"Saya mahu lakukan segala-galanya untuk bersedia dengan lebih baik bagi ujian kami selepas ini pada Januari."
Pada musim ini, Adam dan rakan sepasukannya Tarran Mackenzie akan memacu pasukan Petronas MIE Racing Honda dalam kelas elit WorldSBK menggantikan Hafizh Syahrin Abdullah dan Eric Granado.