ADAM Norrodin Kembali Di Aragon

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/26/20241 min read

PELUMBA WorldSBK negara, Adam Norrodin sah kembali memperkuatkan pasukan PETRONAS MIE Racing Honda bagi Pusingan 10 WSBK di Aragon, Sepanyol, minggu ini.

Terlepas aksi di Republik Czech selepas kecederaan yang dihadapinya pada Perlumbaan 2 di Great Britain, pelumba kelahiran Johor itu hanya melengkapkan Perlumbaan 1 di Portugal sebelum menarik diri.

Ia kemudian mengikuti dua penarikan diri di Perancis (Magny-Cours) dan Itali (Cremona) pada minggu lalu sebelum diumumkan akan kembali beraksi di Aragon.

Begitupun, penampilan secara penuh oleh pelumba berusia 26 tahun itu di Aragon hanya akan ditentukan selepas pelumba kelahiran Johor itu mula menunggang jenteranya pada sesi latihan 1 pada Jumaat.

"Saya cuba untuk bersaing pada minggu ini, sekalipun kaki saya masih belum pulih secara sepenuhnya," kata Adam.

"Saya perlu menjalani ujian perubatan di litar dan akan pihak doktor akan menilai semula mengenainya selepas sesi latihan bebas 1, tetapi sejujurnya saya sebenarnya tidak pasti apa yang akan terjadi sehingga saya berada di atas jentera pada Jumaat.

"Saya telepas begitu banyak pusingan dan saya amat tidak sabar untuk kembali berlumba," katanya.

Mengulas aksi di Aragon, Adam berkata sekalipun dia mempunyai pengalaman berlumba di litar berkenaan, tetapi ia adalah dalam kelas berbeza.

"Saya pernah berlumba di Aragon tahun lalu dalam kelas WorldSSP dan saya turut difahamkan ia sudah menjalani penurapan semula sejak itu, jadi kita akan lihat adakah ia akan berbeza. Ayuh lihat apa yang boleh saya lakukan."

Selain Adam, Malaysia turut mempunyai dua wakil di pentas WorldSSP menerusi Khairul Idham Pawi dan Azroy Hakeem Anuar yang turut beraksi bersama pasukan PETRONAS MIE Racing Honda.