Adam Norrodin Kempunan Lagi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/18/20241 min read

TIADA kelibat pelumba tunggal negara di pentas WorldSBK, Adam Norrodin apabila sekali lagi kecewa disahkan tidak akan beraksi pada pusingan penutup tirai Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) musim ini di Jerez, Sepanyol minggu ini.

PETRONAS MIE Racing Honda dalam satu kenyataan menjelaskan punca pelumba kelahiran Johor itu disisihkan adalah disebabkan kecederaan patah ibu jari kaki kanan yang dialaminya masih belum pulih.

Sekalipun sudah menjalani proses pemulihan, Adam berkata ujian yang dilakukan di litar menyaksikannya dia tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian pada sesi kali ini.

"Saya amat kecewa kerana tidak dapat beraksi pada saingan penutup tirai WSBK musim ini," kata Adam.

"Saya meneruskan dengan sesi fisioterapi dan pelbagai siri ujian perubatan sepanjang minggu lalu dan amat berharap untuk melepasi ujian kecergasan apabila tiba di litar, tetapi malangnya doktor memutuskan yang saya tidak boleh berlumba.

"Saya cukup kecewa terlepas begitu banyak perlumbaan dan mahu meminta maaf kepada pasukan juga kerana ini bukan cara yang kami bayangkan untuk menamatkan perlumbaan.

"Saya tidak dapat berada di litar seperti yang saya harapkan tetapi sudah tentu saya mahu mengucapkan terima kasih kepada keseluruhan pasukan PETRONAS MIE Racing Honda dan kesemua penaja atas kerja keras mereka dan sokongan pada tahun ini."

Sebagai rekod, ini adalah kali ketujuh berturut-turut Adam tidak mengambil bahagian dalam kejuaraan berkenaan dan kali terakhir adalah ketika pusingan kelima di Donington Park, United Kingdom (UK) pada pertengahan Julai lalu.

Sekali lagi, kekosongan yang ditinggalkan Adam di Jerez yang digantikan dengan pelumba Portugal, Ivo Lopez.

Keputusan itu turut menyaksikan Adam bakal menamatkan kempen sulungnya di WSBK tanpa sebarang pungutan mata.