ADAM Norrodin Rasmi Kembali Berlumba Di Portimao

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/8/20241 min read

PELUMBA negara, Adam Norrodin kembali menyarung sut lumbanya bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda pada perlumbaan WorldSBK Pusingan 7 WSBK 2024 di Portimao, Portugal minggu ini.

Seperti diketahui, Adam terlepas aksi Pusingan 6 WSBK di Republik Czech susulan kecederaan yang dihadapinya selepas mengalami kemalangan pada Pusingan 5 di Donington Park, UK.

Turut mengalami kemalangan di Donington Park adalah rakan sepasukannya, Tarran Mackenzie namun malangnya pelumba kelahiran Britain itu masih belum cergas dan akan digantikan dengan pelumba kelahiran Portugal, Ivo Lopes.

Apa yang menarik, kepulangan semula Adam menyaksikan Malaysia akan mempunyai dua wakil dalam kelas perdana WorldSBK di Portugal nanti.

Ini berikutan penampilan secara 'Wildcard' bekas pelumba pasukan itu, Hafizh Syahrin Abdullah yang kembali ke kejuaraan menerusi pasukan JDT Racing Team.

Tetapi ketika Adam menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R yang tampak kurang kompetitif di kejuaraan itu setakat ini, Hafizh akan berlumba menggunakan jentera Ducati Panigale V4R.

Dan cukup mengujakan, bekas pelumba MotoGP itu dikhabarkan akan menunggang jentera Ducati Panigale V4R dengan spesifikasi 'kilang' seperti digunakan pelumba seperti Alvaro Bautista.

Pada Perlumbaan 6 di Most, Adam digantikan oleh bekas rakan sepasukan Hafizh, Leandro ‘Tati’ Mercado.

Sedikit mengecewakan, Adam masih belum berjaya mengutip sebarang mata kejuaraan setakat ini.