ADAM Norrodin Tiba di Portugal Dengan Semangat Tinggi
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/9/20241 min read


TERLEPAS aksi Pusingan 6 WSBK di Republik Czech membuatkan pelumba negara, Adam Norrodin tidak sabar untuk mengharungi aksi WorldSBK di Portimao, Portugal minggu ini.
Pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda itu kempunan aksi di Most selepas mengalami kecederaan susulan kemalangan pada Perlumbaan 2 di Donington Park dan menjalani proses pemulihan di Malaysia.
Di tanah air, pelumba kelahiran Johor itu terus mengekalkan kecergasannya dengan menjalani latihan sebelum disahkan cergas untuk pusingan di Portugal.
Mengulas kepulangan semulanya di Portugal, Adam berkata: "Saya kembali ke Malaysia sejurus selepas Donington dan sentiasa bekerja keras untuk mendapatkan kembali kecergasan penuh dan kekal melakukan latihan.
"Harapnya kami dapat melakukan sesuatu yang bagus di Portimao, ia litar yang cukup mendebarkan dan saya amat menggemarinya sekalipun ia sukar.
"Saya memperoleh beberapa keputusan yang bagus di sini sebelum ini, jadi jika kami boleh memulakannya dengan baik pada Jumaat dan mencari pelarasan yang baik yang kemudian menjadikan minggu ini lebih mudah.
"Saya tahu pasukan sudah bekerja keras jadi saya fikir kami menuju ke Portugal dalam keadaan yang bagus. Saya harap untuk memulakan separuh musim ini dengan keputusan yang baik."
Di Portimao, Adam bukan menjadi satu-satunya pelumba yang mengibar cabaran Malaysia susulan kehadiran bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi menerusi tiket 'Wildcard' bersama JDT Racing Team.
Begitupun, rakan sepasukan Adam, Tarran Mackenzie masih belum cergas dan akan digantikan dengan pelumba kelahiran Portugal, Ivo Lopes.
