ADRIAN Huertas Menang Perlumbaan 1 WorldSSP Di Most, KIP p22
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/20/20241 min read
PELUMBA negara, Khairul Idham Pawi terus berdepan kesukaran apabila menamatkan Perlumbaan 1 WorldSSP Pusingan 6 WSBK 2024 di Most, Republik Czech di kedudukan ke-22.
Keputusan mengecewakan itu sekaligus menyaksikan pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda sekali lagi menamatkan aksi tanpa pungutan mata.
Lebih mengecewakan, pelumba yang menggunakan jentera Honda CBR600RR itu melepasi garisan penamat hampir 1 minit di belakang juara, Adrian Huertas dari pasukan Aruba.it Racing WorldSSP Ducati.
Mengapit Huertas kali ini adalah dua pelumba Yamaha menerusi Valentin Debise (Evan Bros. WorldSSP Yamaha Team) yang meraih tempat kedua.
Manakala Stefano Manzi daripada pasukan Pata Yamaha Ten Kate Racing melengkapkan kedudukan podium.
Sementara itu, rakan sepasukan KIP, Kaito Toba turut melepasi garisan penamat di luar pungutan mata di kedudukan ke-19.
Mengulas mengenai perlumbaannya di Most, KIP sekali kali menyatakan masalah di bahagian belakang terus menghantuinya.
"Saya bergelut dengan masalah belakang pada perlumbaan hari ini," kata KIP. "Saya tidak dapat merasakan yang saya mempunyai begitu banyak cengkaman, dan bahagian belakang banyak bergerak.
"Kepanasan juga tidak membantu, tetapi harapnya kami boleh meningkatkan kelajuan pada perlumbaan esok dengan melakukan perubahan pelarasan bermula daripada sekarang."