ADRIAN Huertas Raih Kemenangan Berganda, KIP Kecewa Lagi
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/14/20241 min read
![](https://assets.zyrosite.com/cdn-cgi/image/format=auto,w=812,h=448,fit=crop/YrDL8yMMe8TOk15G/cover-YrDNQ4ZxQvskp3vj.jpg)
![](https://assets.zyrosite.com/cdn-cgi/image/format=auto,w=328,h=176,fit=crop/YrDL8yMMe8TOk15G/cover-YrDNQ4ZxQvskp3vj.jpg)
PELUMBA Sepanyol, Adrian Huertas melengkapkan kemenangan berganda di Donington Park, UK selepas menjuarai Perlumbaan 2 WorldSSP Pusingan 5 WSBK 2024 ketika pelumba negara, Khairul Idham Pawi terus kempunan mengutip mata.
Apa yang menarik, pelumba pasukan Aruba.it Racing tidak melepasi garisan penamat di tempat pertama, namun kedua di belakang pelumba Itali, Yari Montella.
Begitupun, kemenangan 'dihadiahkan' kepada Huertas selepas Montella dari pasukan Barni Spark Racing dikenakan penalti selepas melanggar garisan hijau di tepi litar (Track limit) pada penghujung perlumbaan.
Melengkapkan kedudukan podium adalah pelumba Orelac Racing Verdnatura Ducati, Jorge Navarro.
Perlumbaan 2 WorldSSP terpaksa dimulakan semula susulan kemalangan yang membabitkan empat pelumba John McPhee (PTR Triumph), Krittapat Keankum (Yamaha Thailand Racing Team), TJ Toms (R&R Racing) dan Federico Fuligni (Orelac Racing Verdnatura) di Selekoh 10.
Dimulakan semula dengan hanya 12 pusingan, ia jelas memberi kelebihan kepada Montella sekalipun Huertas memulakan perlumbaan di petak utama.
Sementara itu, kemarau pungutan mata berterusan buat pelumba negara, Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai KIP selepas pelumba kelahiran Perak itu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-23.
Pernah berada di kedudukan ke-21 pada satu ketika, KIP begitupun terjatuh namun bangkit untuk meneruskan perlumbaan.
Kemenangan berganda menyaksikan Huertas mengukuhkan kedudukannya di puncak carta kejuaraan dengan 186 mata diikuti Montella, 161 mata. KIP dalam pada itu sekadar mengutip satu mata yang diperoleh pada Pusingan 1 di Australia.
Selepas UK, Pusingan 6 dijadual berlangsung di Republik Czech, hujung minggu ini.
![](https://assets.zyrosite.com/cdn-cgi/image/format=auto,w=1920,fit=crop/YrDL8yMMe8TOk15G/panel1-ALp755aNbxFevxBV.png)