AUTOMASTER Care Dilancarkan, Inisiatif Digital Perlindungan, Waranti & Komuniti Di Hujung Jari!

Segala manfaat yang ditawarkan dalam Automaster Care - perlindungan insuran peribadi, waranti dan khidmat komuniti diperoleh hanya dengan pembelian minyak pelincir Mannol (kereta/motosikal) dan Champion (kereta sahaja)

PELANCARAN

6/18/20262 min read

ADVANCE Profinity Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif minyak pelincir jenama Mannol dan Champion di Malaysia mengorak langkah proaktif apabila melancarkan program Automaster Care, sebuah inisiatif digital lengkap yang menawarkan perlindungan komprehensif dan telus kepada pengguna.

Apa yang menariknya, segala manfaat yang ditawarkan dalam Automaster Care ini - perlindungan insuran peribadi, waranti dan khidmat komuniti diperoleh hanya dengan pembelian minyak pelincir Mannol dan Champion (kereta sahaja).

Pengarah Urusan ADVANCE Profinity, Mohd Haris Fathimi Zakria berkata Automaster Care direka bukan sekadar sebagai kempen pemasaran bermusim, tetapi bertujuan mengubah rutin biasa menukar minyak pelincir sebagai satu pelaburan untuk keselamatan enjin dan kesejahteraan pengguna.

Katanya, idea penubuhan program ini tercetus daripada realiti pasaran masa kini di mana penjenamaan minyak enjin terlalu kompetitif dan sering bergantung kepada promosi tular yang hanya bersifat sementara.

"Kami mahu pengguna tahu bahawa setiap ringgit yang mereka belanjakan bukan sekadar untuk membeli komoditi, tetapi satu pelaburan yang memberikan perlindungan dan ketenangan minda," kata Mohd Haris ketika pelancarannya.

"Melalui slogan 'Tiga Inisiatif. Satu Matlamat. Untuk Anda', program ini menyasarkan pencapaian 'Triple Win' yang menghubungkan pengguna, bengkel rasmi, dan jenama dalam satu ekosistem yang telus serta menguntungkan semua pihak.

Keunikan utama Automaster Care terletak pada tawaran perlindungan eksklusifnya. Setiap kali pelanggan melakukan servis menggunakan minyak enjin Mannol atau Champion di bengkel terpilih, mereka secara automatik layak menerima Perlindungan Kemalangan Peribadi (PA) secara percuma selama empat bulan.

Manfaat komprehensif yang diikat terus kepada pemilik kenderaan itu turut merangkumi pampasan Kematian Akibat Kemalangan dan Cacat Kekal Menyeluruh (RM 4,000), Patah Tulang (RM 1,500), Perbelanjaan Pengebumian (RM 1,000), Kos Ambulans (RM 300), dan Perbelanjaan Perubatan (RM 150).

Sebagai tanda keyakinan mutlak terhadap kualiti produk, Automaster Care turut menawarkan Perlindungan Pembaikan Enjin sehingga RM 10,000 (Mannol) dan RM 20,000 (Champion) bagi setiap kereta sekiranya berlaku kerosakan yang dibuktikan secara teknikal berpunca daripada minyak enjin keluaran mereka.

Apa yang menarik, proses pendaftaran perlindungan ini juga direka dengan pendekatan mesra digital.

Pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR pada label produk di bengkel rasmi, mengisi data dalam aplikasi Automaster, dan memuat naik resit.

Waranti digital ini akan diaktifkan sepenuhnya selepas pelanggan melakukan servis kedua dalam tempoh lima ke enam bulan berikutnya.

Turut mencuri tumpuan pada majlis pelancaran itu adalah pengenalan inisiatif 'Community Reach Back Programme' (CRP). Program ini membolehkan persatuan atau kelab berdaftar seperti kelab kereta, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta kelab masjid menjana dana secara konsisten.

Melalui sistem kitaran telus, setiap kali ahli kelab menservis kenderaan menggunakan produk berhologram rasmi dan memuat naik resit ke dalam sistem, pihak Automaster (APSB) akan menyalurkan dana sumbangan terus ke tabung persatuan berkenaan selepas pengesahan dibuat.