AEON Credit X Cardinals Racing Hadapi ARRC 2026

Langkah strategik itu mencerminkan komitmen berterusan AEON Credit dalam memperkasakan ekosistem sukan pemotoran dua roda negara, seiring dengan kedudukannya sebagai peneraju pasaran pembiayaan motosikal tempatan.

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/9/20261 min read

SYARIKAT pembiayaan kewangan terkemuka, AEON Credit mengumumkan kerjasama rasmi bersama pasukan Cardinals Racing bagi menghadapi saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bagi musim 2026.

Langkah strategik itu mencerminkan komitmen berterusan AEON Credit dalam memperkasakan ekosistem sukan pemotoran dua roda negara, seiring dengan kedudukannya sebagai peneraju pasaran pembiayaan motosikal tempatan.

Majlis tandatangan kerjasama itu berlangsung hari ini di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) dengan AEON Credit diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Sinergi Perniagaannya, Lee Tyan Jen.

Manakala Cardinals Racing yang juga salah satu 'pemain' dalam arena sukan permotoran negara dan Asia diwakili Prisipal Pasukan, K.F Wong.

Tyan Jen dalam ucapannya menyuarakan rasa bangga dengan kerjasama yang terjalin.

"Kerjasama ini membolehkan kami menyumbang secara bermakna kepada ekosistem pemotoran serantau, selain merapatkan lagi hubungan dengan penunggang serta peminat sukan ini," katanya.

K.F. Wong, menyifatkan sokongan jenama pembiayaan terkemuka itu bakal menyuntik semangat pasukan untuk bersaing di tahap tertinggi dan memburu penamat di podium secara konsisten sepanjang kempen ARRC.

Sebelum ini, AEON Credit turut memperkukuh komitmennya dalam pembangunan bakat akar umbi apabila bekerjasama dengan ZK Racing bagi menaja pelumba muda negara, Hakim Danish, untuk mengharungi kempen penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 pada musim 2026.