AFAZ Lancar Model Kapcai Sulung Bulan Depan, SuperMoped?
Ketika pelancaran AFAZ sebelum ini, jenama itu adalah hasil daripada kerjasama di antara sebuah syarikat tempatan iaitu KMSB Motors Sdn. Bhd. (KMSB) dengan syarikat pengeluar motosikal ternama Jepun iaitu Suzuki Motor Corporation (SMC).
TULAR
8/21/20251 min read


SYARIKAT pengeluar motosikal bertaraf nasional, AFAZ dikatakan akan melancarkan model sulungnya pada bulan depan.
Menariknya, kehadiran model berkenaan tiba selepas hampir dua tahun sejak pengenalannya diumumkan pada September 2023 yang turut membabitkan PMX.
Ketika pelancaran jenama itu sebelum ini, AFAZ adalah hasil daripada kerjasama di antara sebuah syarikat tempatan iaitu KMSB Motors Sdn. Bhd. (KMSB) dengan syarikat pengeluar motosikal ternama Jepun iaitu Suzuki Motor Corporation (SMC).
Begitupun, kerjasama antara KMSB dengan SMC sebenarnya bukan sesuatu pelik kerana untuk pasaran Malaysia kerana KMSB adalah pengedar rasmi Suzuki motosikal di pasaran tempatan.
Apa yang menarik, kerjasama itu turut membabitkan aspek teknikal dengan SMC juga dikatakan akan membekalkan komponen penting untuk KMSB bagi pembangunan motosikal AFAZ.
Lebih menarik, daripada informasi yang diperoleh sebelum ini, motosikal daripada AFAZ bukan saja mendapat 'sentuhan' daripada Jepun, malah Itali.
Untuk model pertama keluaran AFAZ, seperti dimaklumkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan AFY Mobility Industries (AMI), Datuk Jeffery Lim, ia adalah sebuah model kapcai.
Suzuki pula, selain daripada menghasilkan model berkuasa tinggi dalam pelbagai segmen, mereka seperti diketahui memiliki model dalam segmen moped dan yang berada di pasaran adalah Suzuki Raider R150 Fi.
Tetapi di pasaran luar negara, model kapcai dengan 'kapuk' seperti Suzuki Smash Fi masih wujud dan dijual.
Dan selepas penantian yang agak panjang, maklumat terbaharu yang diperoleh adalah syarikat itu akan melakukan debut untuk model sulungnya pada bulan depan.
Begitupun jangan terlalu teruja, daripada info yang diperoleh, ia bukanlah dalam segmen kapcai super atau supermoped. Tak sabar bukan? Nantikan laporan kami mengenai pelancarannya nanti.
