AFAZ Serah Kapcai Sulung Afaz Kencana Sport (2026) Kepada Perdana Menteri

Projek AFAZ lahir daripada kerjasama antara KMSB Motors Sdn. Bhd. dan Suzuki Motor Corporation Jepun melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) pada 2023

TERKINI

1/15/20261 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal nasional kedua negara, AFAZ mencipa sejarah apabila menyerahkan secara rasmi model kapcai sulungnya, Afaz Kencana Sport kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis penuh simbolik di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Majlis penyerahan itu menjadi penanda kepada kejayaan inisiatif Automotive Manufacturing 2 (AM-2) yang dilancarkan pada 2022, dengan matlamat memperkukuh ekosistem automotif tempatan serta membangunkan rantaian industri bernilai tinggi.

Sebagai rekod, projek AFAZ lahir daripada kerjasama antara KMSB Motors Sdn. Bhd. dan Suzuki Motor Corporation Jepun melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) pada 2023.

Perjanjian itu merangkumi pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran serta pembangunan keupayaan tempatan secara mampan.

AFAZ Kencana Sport dibangunkan sebagai motosikal jenis underbone dengan enjin moden Euro 4 yang cekap bahan api, mesra alam dan rendah pelepasan emisi. Ia turut dilengkapi casis dipertingkatkan bagi kestabilan dan keselamatan, sesuai untuk kegunaan harian rakyat.

Motosikal ini direka khusus untuk segmen berpendapatan rendah dengan kos pemilikan rendah, penyelenggaraan mudah serta ketahanan jangka panjang. Selain memenuhi keperluan domestik, AFAZ Kencana Sport juga menepati piawaian antarabangsa dan bersedia untuk dieksport ke pasaran ASEAN.

Penyerahan kepada Perdana Menteri bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan kematangan industri motosikal negara yang kini mampu menghasilkan produk bertaraf global.