AFIF Kritik Taktik Pasukan Seberang

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/1/20251 min read

PELUMBA negara, Md Akid Aziz tiba di Buriram, Thailand pada pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dalam kelas UB150, bulan lalu sebagai pendahulu kejuaraan dan sekalipun peluangnya tampak cerah sehingga perlumbaan terakhir, impian pelumba itu akhirnya musnah.

Dan selepas hampir sebulan 'insiden' di selekoh terakhir itu berlaku, rakan sepasukan kepada Akid iaitu Ahmad Afif Amran akhirnya membuka mulut mengkritik taktik pelumba pasukan Indonesia khususnya Murobbil Vittoni.

Afif berkata sebagai pelumba, dia boleh melihat apa perancangan yang dilakukan pelumba itu yang didakwanya sebagai 'kotor' ketika Perlumbaan 2.

Berada di posisi untuk meraih kemenangan menuju selekoh terakhir, Akid nampak dihimpit oleh Vittoni.

Menurut Afif, taktik Murobbil itu jelas bertujuan membantu rakan sepasukan dan senegaranya Fahmi Basam untuk memenangi perlumbaan itu sekaligus bergelar juara keseluruhan.

Ketika diminta mengulas 'insiden' itu dalam temubual di laman sosial rasmi CKJ Racing, Afif berkata tindakan Murobbil itu tidak profesional dan tak sepatutnya berlaku.

Malah pelumba kelahiran Terengganu itu turut 'mengusik' penganjur perlumbaan yang mengklasifikasikan apa yang berlaku kepada Akid sebagai 'insiden perlumbaan'.

"Ia memang penamat yang mengecewakan bagi saya malah saya sudah tidak kisah kedudukan berapa saya berada ketika itu kerana apa yang berlaku kepada Akid menyaksikan Malaysia terlepas satu gelaran keseluruhan.

"Perkara itu diletakkan sabagai insiden perlumbaan oleh pihak penganjur tetapi bagi kami pelumba, kami tahu apa permainan mereka.

"Kami terima yang ini mungkin bukan rezeki kami tetapi secara peribadi apabila berlumba di litar bertaraf antarabangsa dan sebesar itu ia tidak sepatutnya berlaku.

"Apapun saya tetap bersyukur tiada kecederaan serius berlaku tetapi berharap perkara seperti ini tidak berlaku lagi di masa depan," kata Afif.

Pada perlumbaan itu, Akid yang berada tempat ketiga menuju selekoh terakhir dan akan dinobatkan juara keseluruhan jika posisi itu kekal dapat dilihat dengan jelas dihimpit Murobbil dari bahagian dalam litar hingga terjatuh.

Sekalipun berjaya bangkit dan menamatkan perlumbaan, kedudukan ke-13 menyaksikannya terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua keseluruhan dengan Fahmi bergelar juara.

Tetapi lebih mengecewakan, situasi turut menyaksikan tiada pelumba Malaysia menamatkan kempen ARRC musim ini sebagai juara keseluruhan dengan keempat-empat kategori utama menjadi milik pelumba Jepun (Yuki Kunii - ASB1000), Thailand (Apiwath Wongthananon-SS600) dan Indonesia (Herjun Atna Firdaus-AP250 dan Fahmi-UB150).