AGRESIF, Permulaan Sempurna Resipi Kejayaan 'Pecco' Bagnaia Di Qatar

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/11/20241 min read

FRANCESCO Bagnaia menjelaskan strateginya untuk menghadapi perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar 2024 berubah selepas Perlumbaan Sprint pada Sabtu - keputusan yang menghadiahkan pelumba Ducati Lenovo itu kemenangan pertamanya musim ini.

Selepas menamatkan Perlumbaan Sprint di luar kedudukan podium, Bagnaia berkata strateginya adalah untuk cuba untuk memintas pelumba pendahulu, Jorge Martin seawal pusingan pertama tanpa merosakkan tayarnya.

Dan pelumba kelahiran Itali berjaya melakukannya terutama selepas penyandang juara dunia MotoGP itu memperoleh permulaan yang disifatkan terbaik.

"Saya cuba untuk menjadi lebih agresif dan saya tahu jika saya mendahului pada pusingan pertama, potensi saya untuk mengendalikan jurang cukup baik," kata Bagnaia yang memulakan perlumbaan di petak kelima dan mula mendahului perlumbaan sebelum pusingan pertama berakhir.

"Perlumbaan Sprint semalam adalah pelajaran yang baik untuk mengubah sedikit pendekatan untuk mendapatkan prestasi jentera baharu ini.

"Saya perlu berterima kasih kepada pasukan saya kerana sejak petang semalam sehingga pagi ini kami bekerja amat keras untuk memperbaiki pelarasan untuk perlumbaan.

"Secara keseluruhan, ia adalah permulaan yang sempurna untuk musim ini."

Mengulas lanjut, Bagnaia menjelaskan isu yang dihadapinya ketika Perlumbaan Sprint adalah membabitkan gegaran yang memaksanya menunggang dengan cara yang berbeza.

"Saya menunggang dengan cara yang berbeza. Saya mencari prestasi dengan cara yang berbeza iaitu menyesuaikan diri dengan gegaran. Hari ini saya hanya merasainya sedikit pada dua pusingan terakhir, pada satu selekoh saja jadi ia berjalan dengan baik.

"Mungkin di Portimao kami tidak akan berdepan masalah ini kerana di Portimao cengkaman litar cukup berbeza. Tetapi saya fikir kami tahu dengan baik apa yang perlu dilakukan jika terjadinya lagi gegaran," kata Bagnaia mengakui jenteranya berpotensi untuk pergi lebih laju.