'AHLI Keluarga Marquez 'Diharamkan' Sertai Yamaha'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/8/20231 min read
TAK dapat dinafikan perseteruan membabitkan dua bintang, Marc Marquez dan Valentino Rossi boleh dilabel antara paling 'panas' dalam MotoGP terutama insiden 'kungfu' pada 2015 di GP Malaysia.
Tetapi ia mencapai satu tahap lebih tinggi yang turut membabitkan pengeluar dan ahli keluarga, menurut pendedahan yang diperoleh, baru-baru ini.
Apa yang mengejutkan, bukan Marc sahaja yang 'dilarang' untuk menyertai pasukan Yamaha di MotoGP, malah sekatan itu turut ahli keluarganya.
Menurut adik kepada Marc, Alex dalam dokumentari yang diterbitkan DAZN, dia berkata pernah diberikan tawaran untuk menyertai pasukan satelit Yamaha, Petronas Yamaha SRT namun dihalang oleh pengeluar Jepun itu.
"Ia adalah musim kelima saya di Moto2, dan saya dikritik kerana itu," kata Alex. "Sudah bertahun-tahun saya mahu berlumba di MotoGP.
"Pada pertengahan musim itu, di Brno, saya mendapat tawaran untuk melakukan berlumba selama setahun di Moto2 dan dua tahun di MotoGP bersama Petronas Yamaha.
"Fabio Quartararo adalah pelumba utama, bersaing dengan Marc (Pada 2019) dan ia adalah jentera yang saya gemari. Saya fikir ia bagus dengan gaya tunggangan saya. Tetapi ia tidak menjadi kenyataan atas alasan 'X'," katanya.
Pendedahan sama turut dibuat bekas Prinsipal RNF MotoGP, Datuk Razlan Razali.
"Pada 2019, kami (SRT) memiliki jentera dalam Moto2, tetapi Dorna memberikan kami satu tempat untuk musim 2020," kata Razlan.
"Saya menggemari Alex dan dia berada dalam senarai saya. Jadi kami mengadakan perjumpaan rahsia dan menandatangani perjanjian di kediaman bergeraknya untuk bersama kami selama setahun di Moto2 dan pada 2021, ketika Fabio ke pasukan 'Factory', Alex akan bersama kami di MotoGP.
"Saya mempunyai gambarnya di sini (telefon bimbit) kerana saya menandatanganinya dan kemudian Marc dan Alex datang. Kami menandatangani kontrak dengan Alex untuk bersama kami. Ini berlaku pada Ogos 2019 pada jam 10 malam.
"Saya memberitahu Yamaha yang saya mahu menandatangani Alex untuk Moto2 dan kemudian MotoGP dan Yamaha berkata 'Tidak, tiada ahli keluarga Marquez boleh berada di Yamaha'.
"Saya berkata 'Mengapa'? Ini adalah pasukan saya. Ini adalah disebabkan oleh Marc dan apa yang berlaku pada 2015. Ia menjadi sesuatu yang peribadi buat mereka (Yamaha)."