AHM Umum Harga Skuter Elektrik Honda EM1 e: (2023), Harga Mula RM 9.8k!

TERKINI

12/25/20231 min read

SYARIKAT pengeluar dan pengedar rasmi motosikal Honda di Indonesia, PT Astra Honda Motor (AHM) mengumumkan harga skuter elektrik yang memasuki negara berkenaan, baru-baru ini Honda EM1 e: (2023).

Sebagai info, Honda EM1 e: (2023) dipertontonkan buat pertama kali ketika acara GIIAS 2023 pada Oktober lalu.

Dua varian Honda EM1 e: (2023) diperkenalkan di pasaran seberang iaitu Standard dan PLUS.

Perincian mengenai harga dan pilihan warna adalah seperti berikut:

  • Honda EM1 e: (Standard) - Rp 33 juta (RM 9,880) Asas

Pilihan warna: Innovative White, Intelligent Matte Black, Smart Red

  • Honda EM1 e: PLUS (Ada Top Box) - Rp 33.5 juta (RM 10,029) Asas

Pilihan warna: Innovative White, Intelligent Matte Black, Smart Red

Dari sudut rekaan, Honda EM1 e: (2023) tidak begitu futuristik dan masih nampak seperti skuter konservatif dengan dimensi yang lebih kecil berbanding skuter Honda BeAT.

Di bahagian trenkuasa, Honda EM1 e: dipadankan dengan motor elektrik yang mampu mengeluarkan kuasa setinggi 2.3 Hp pada 540 rpm. Dan sebagai kenderaan elektrik, tork puncaknya adalah 90 Nm.

Sebagai perbandingan dan dalam bahasa mudah, ia memiliki keupayaan menyamai skuter konvensional bersesaran enjin 50 cc namun daya kilas lebih tinggi.

Menguasai skuter ini adalah pek bateri Honda Mobile Power Pack e: berkapasiti 26.1 Ah (Lithium-ion) boleh tukar menerusi perkhidmatan Honda Power Pack Exchanger e:.

Apa yang agak mengecewakan adalah ia hanya memiliki kelajuan maksimum 45 km/j dengan jarak perjalanan sekitar 40 ke 41 km.

Untuk mengecas, tempoh 2 jam 40 minit diperlukan untuk tahap 25 % hingga 75 % dan untuk tahap 0 % hingga 100 %, tempoh yang diperlukan dikatakan sekitar 6 jam dengan berat bateri 10.3 kg.

Sebagai skuter yang sinonim dengan kemodenan, Honda EM1 e: dipadankan dengan panel meter digital penuh, sistem lampu LED penuh dan sistem brek menggunakan cakera (depan) dan dram (belakang) dengan sistem Combi (CBS).

Informasi yang agak penting lain adalah ketinggian pelana 740 mm dan berat 93 kg.

Tak diketahui sama ada pihak Boon Siew Honda berminat untuk membawa masuk Honda EM1 e: ke pasaran Malaysia tetapi melihat kepada komitmen kerajaan, ia nampak berpotensi.