AI Ogura Akhiri 'Kemarau' Jepun
Ini adalah kemenangan pertama pelumba Trackhouse Aprilia, Ai Ogura dalam kempen MotoGP dan menariknya diperoleh pada salah satu litar yang disifatkan kegemarannnya iaitu Assen
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/28/20262 min read


PELUMBA pasukan Trackhouse Aprilia, Ai Ogura melakar sejarah apabila merangkul kemenangan sulungnya dalam kelas perdana MotoGP Grand Prix (GP) Belanda 2026 yang berlangsung penuh drama di Litar Assen, hari ini.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan kemarau panjang selama 22 tahun buat negara matahari terbit itu untuk melihat pelumbanya kembali menaiki podium sebagai pemenang di pentas MotoGP, sejak Makoto Tamada melakukannya pada tahun 2004.
Pada perlumbaan yang berlangsung penuh dramatik itu, Ogura yang memulakan perlumbaan di petak ke-2 seperti kebiasaan tampil tenang di awal perlumbaan sebelum mempamerkan tunggangan bertenaga di penghujung.
Dan meskipun berdepan detik cemas apabila peranti pelarasan ketinggian jenteranya mencetus 'masalah' buat seketika yang menyaksikannya sedikit ketinggalan, Ogura pantas bangkit untuk memintas rakan sepasukannya Raul Fernandez dan pelumba pasukan kilang Aprilia, Jorge Martin untuk mengesahkan kemenangan.
Pemenang perlumbaan Sprint, Fernandez terpaksa berpuas hati di tempat ke-2 manakala Martin melengkapkan podium.
Tetapi Martin turut merampas kedudukan carta pendahulu kejuaraan MotoGP daripada rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi yang berdepan kemalangan ngeri seawal pusingan kedua.
Pelumba Itali itu dilaporkan tercampak dan berguling di kawasan kerikil pada kelajuan 200 kilometer sejam (km/j) di Selekoh 15 menuju ke 'hairpin' terakhir litar.
Bagaimanapun, pasukan Aprilia mengesahkan Bezzecchi berada dalam keadaan sedar sepenuhnya dan boleh menggerakkan keempat-empat anggota badannya tanpa tanda-tanda komplikasi neurologi, namun tetap dibawa ke hospital tempatan untuk pemeriksaan komprehensif.
Nasib malang turut menimpa juara bertahan dari pasukan Ducati, Francesco 'Pecco' Bagnaia apabila terpaksa menarik diri daripada perlumbaan berikutan masalah brek pada jentera Ducati GP26 ditunggangnya.
Turut gagal menamatkan saingan adalah pelumba sensasi KTM, Pedro Acosta, yang dikesan mengalami masalah fizikal pada lengan kanannya berbanding isu teknikal jentera.
Sementara itu, Marc Marquez yang menjadi antara enam pelumba mempertaruhkan tayar belakang kompaun lembut, memulakan perlumbaan dengan baik namun terpaksa bergelut mempertahankan kedudukannya daripada asakan pelumba lain.
Insiden Marquez terbabas ke kawasan kerikil di selekoh 'chicane' terakhir ketika cuba menghalang asakan Fabio di Giannantonio membawa padah apabila dia dikenakan penalti penurunan satu kedudukan selepas tamat perlumbaan.
Hukuman itu menyebabkannya terlepas kedudukan keenam kepada Enea Bastianini.
Di Giannantonio yang turut menerima penalti 'long lap' kerana memotong laluan lurus di 'chicane' yang sama, masih berjaya mempamerkan kebangkitan untuk memintas Alex Marquez pada pusingan terakhir, sekali gus menamatkan saingan di tempat keempat.
Saingan Kejuaraan Motosikal Dunia seterusnya akan beralih ke GP Jerman di Litar Sachsenring pada 10 hingga 12 Julai ini sebelum mengharungi rehat musim panas.

