AI Ogura Dedah Ikut Gaya Tunggangan Pecco
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/1/20251 min read


ROOKIE MotoGP musim ini, Ai Ogura mendedahkan dia meniru gaya tunggangan juara dunia MotoGP dua kali, Francesco Bagnaia ketika memperoleh permulaan memberangsangkan di Grand Prix Thailand 2025.
Juara dunia Moto2 2024 itu pada penampilan sulungnya di pentas elit itu memperoleh tempat ke-4 Perlumbaan Sprint yang disifatkan ramai sebagai mengejutkan.
Malah pelumba pasukan Trackhouse Aprilia itu turut mengakui 'terkejut' dengan prestasi yang ditampilkannya.
Dan pelumba kelahiran Jepun menjelaskan dia berupaya memperoleh keputusan itu dengan mempelajari perkara baharu dalam teknik tunggangan di MotoGP khususnya bagaimana untuk menunggang dengan lancar.
"Saya menjangkakan yang semua pelumba akan menungang dengan lebih agresif, tetapi mereka menunggang dengan lancar," kata Ogura memetik laporan Crash.net. "Ia seperti gaya tunggangan saya, jadi saya gembira.
"Saya fikir (menunggang dengan lancar) adalah sesuatu yang saya belajar daripada Pecco (Francesco Bagnaia).
"Saya hanya cuba untuk meniru bagaimana dia menunggang, kerana untuk menunggang di belakang Pecco untuk 13 pusingan benar-benar sesuatu yang berkualiti bagi saya."
Ogura dalam pada itu berkata dia semakin memahami karakter jentera Aprilia RS-GP dan perbezaannya dengan Ducati GP.
"Saya tidak boleh membandingkannya dengan Marc (Marquez) dan Alex (Marquez), saya hanya boleh membandingkan dengan Pecco kerana hanya dia seorang berlumba di depan saya.
"Pada pertengahan selekoh, banyak yang saya dapat, tetapi ketika di selekoh tajam, dia lebih bagus."
