AI Ogura Dedah Sebab 'Tolak' Honda
Keputusan Ai Ogura nyata membuahkan hasil apabila percaturannya menolak tawaran Honda untuk kekal di Moto2 sebelum menyertai Trackhouse Aprilia bakal membawanya menyertai pasukan kilang Yamaha pada musim depan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/19/20262 min read


PELUMBA sensasi Jepun, Ai Ogura mendedahkan tindakannya menolak tawaran pasukan Honda untuk beraksi di pentas MotoGP pada 2023 adalah didorong oleh hasrat besarnya untuk merangkul gelaran dunia terlebih dahulu sebelum melangkah ke kancah elit.
Keputusan itu ternyata membuahkan hasil apabila percaturannya mengatur sendiri haluan kariernya bakal membawanya menyertai pasukan kilang Yamaha pada musim hadapan.
Apa yang menarik, Ogura membesar dan diasah menerusi program pembangunan Honda bermula dari Asia Talent Cup, sebelum mewakili Honda Team Asia dalam saingan Moto3 dan Moto2 dan dilihat sebagai calon paling sesuai untuk dinaikkan pangkat ke MotoGP bersama pasukan satelit LCR Honda pada 2024.
Begitupun, ia membuat keputusan luar jangkaan dengan menolak tawaran jenama senegaranya itu dan beralih angin menyertai pasukan MT Helmets - MSI pada 2024, satu langkah yang akhirnya membolehkannya merangkul gelaran dunia Moto2 tahun yang sama.
Ketika ditemui pada Grand Prix (GP) Indonesia baru-baru ini, Ogura berkata dia mempunyai alasan yang kukuh di sebalik penolakan itu.
"Saya katakan tidak kepada Honda kerana pada masa itu saya masih belum bersedia untuk ke MotoGP. Selain itu, saya mahu memenangi sekurang-kurangnya satu gelaran juara dunia sebelum beralih ke MotoGP. Itulah dua sebab paling utama," katanya.
Impian Ogura untuk beraksi di kelas perdana itu akhirnya terlaksana pada musim 2025 apabila dia menandatangani kontrak bersama pasukan satelit Aprilia, Trackhouse Racing.
Dan langkah itu nyata berbaloi apabila Ogura berjaya memahat sejarah tersendiri selepas muncul pelumba Jepun pertama memenangi perlumbaan MotoGP sejak 2004 ketika menjuarai GP Belanda awal musim ini.
Selepas dua tahun menimba pengalaman bersama Trackhouse, Ogura kini bersedia untuk menggalas cabaran lebih besar bersama pasukan kilang Yamaha pada tahun depan.
Mengulas mengenai perjalanan kariernya, Ogura menegaskan dia tidak pernah menyesali setiap keputusannya pada masa lalu dan percaya perancangan masa depan bergantung sepenuhnya kepada prestasi semasa.
"Saya hanya membuat keputusan yang saya rasakan terbaik berdasarkan situasi dari semasa ke semasa. Jadi, ia bukanlah bermaksud saya sudah merancang segala-galanya sejak awal.
"Sudah tentu tawaran yang diterima bergantung kepada keputusan perlumbaan anda. Anda tidak boleh merancang segala-galanya tiga atau empat tahun lebih awal.
"Jika anda bertanya, saya gembira dengan keputusan yang telah dibuat. Saya tiada sebarang emosi yang mengganggu (berhubung penolakan Honda) kerana tiada gunanya bercakap mengenai sesuatu yang sudah berlaku," katanya.

