AI Ogura Jangka Berdepan Kesukaran Di Termas de rio Hondo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/14/20251 min read

SENSASI Trackhouse Aprilia yang juga rookie MotoGP musim ini, Ai Ogura menjangkakan dia bakal berdepan kesukaran di Grand Prix (GP) Argentina pada hujung minggu ini.

Pelumba Jepun itu, yang mengharungi debut mengujakan di Thailand dua minggu lalu berkata demikian selepas mengakui yang Litar Termas de rio Honda 'bukan litar kegemarannya'.

Di Buriram, penyandang juara dunia Moto2 itu mengejutkan ramai orang apabila meraih tempat ke-4 dalam Perlumbaan Sprint dan ke-5 perlumbaan GP dan tiba ke Argentina sebagai pelumba Aprilia terbaik dalam carta.

Dan sekali pun Termas de rio Honda dianggap sebagai antara litar 'terkuat' pengeluar Itali itu, Ogura merasakan situasi tidak semudah itu namun ia adalah cabaran yang ingin dihadapinya.

"Saya gembira dengan keputusan saya, tetapi pasukan amat gembira dengan keseluruhan minggu," kata Ogura dalam rancangan MotoGP. "Suasana dalam pasukan ketika ini amat bagus dan semua orang benar-benar bermotivasi.

"Ia bukan salah satu daripada litar kegemaran saya. Seperti Davide (Brivio) kata, mungkin ada minggu yang baik dan mungkin ada minggu yang buruk, tetapi sebagai rookie saya bersedia untuk segala-galanya.

"Kita perlu lihat bagaimana Jumaat ini bermula dan sasaran saya adalah sentiasa untuk memberikan yang semaksimum mungkin. Jadi sasaran yang sama pada minggu ini."

Pernah menaiki podium di Termas de Rio Hondo pada 2022 di Moto2, Ogura mengakui dia sedar cabaran di Argentina berbeza berbanding Thailand.

"Sebelum GP Thailand kami mengharungi ujian dua hari di Buriram. Jadi saya fikir ia agak berbeza dan akan menjadi minggu yang mencabar tetapi ia benar-benar menarik dan mungkin apa yang saya perlukan sekarang.

"Saya bersedia untuk bergembira di sini dan kita lihat apa yang akan berlaku.," kata Ogura yang mengakui susun atur Termas de rio Hondo sebenarnya lebih cocok dengan gaya tunggangannya berbanding Buriram.