AI Ogura Sah Tunggang Jentera MotoGP Trackhouse Aprilia Musim Depan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/15/20241 min read


PELUMBA Jepun, Ai Ogura rasmi dinamakan sebagai pelumba MotoGP musim depan selepas menandatangani kontrak dua tahun bersama pasukan milik pelabur Amerika Syarikat, Trackhouse Aprilia.
Kerap dikaitkan dengan pasukan Idemitsu LCR Honda bagi menggantikan seorang lagi pelumba Jepun Takaaki Nakagami sebelum ini, khabar angin itu begitupun tidak menjadi kenyataan dengan Ogura akan bergandingan dengan Raul Fernandez.
Pengesahan Ogura, 23 tahun menyaksikan MotoGP musim depan akan memiliki sekurang-kurangnya dua pelumba 'Rookie' dengan Fermin Aldeguer sudah pun mengesahkan tempatnya dalam kempen elit itu lebih awal bersama Ducati.
Ketika ini, Ogura sedang menghuni tangga kedua carta kedudukan pelumba Moto2 2024 di belakang rakan sepasukannya di pasukan MT Helmets - MSi, Sergio Garcia.
Dan kehadiran Ogura itu turut bermakna peluang seorang lagi pelumba Moto2 berasal dari Amerika Syarikat, Joe Roberts untuk menyertai Trackhouse Aprilia berkemungkinan sudah tiada.
"Pertama sekali saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menjadi sebahagian daripada projek ini dan semua orang yang menyokong saya," kata Ogura.
"Sudah tentu, ini adalah impian saya! Langkah terakhir yang perlu diambul. MotoGP adalah tahap yang maksimum boleh kamu dapat jadi saya jelas amat gembira untuk berada di sana.
"Saya gembira untuk berpeluang berlumba dengan pelumba-pelumba terbaik dan tidak sabar untuk melakukannya dengan pasukan Trackhouse MotoGP.
"Saya dapat melihat yang pasukan ini amat kompetitif dan jentera juga amat kuat dan sebagai pelumba, tugas saya adalah bekerja keras dengan sekuat yang mungkin.
"Mentalitinya sentiasa sama tetapi saya amat gembira untuk menjadi sebahagian daripada Trackhouse dan melangkah ke MotoGP bersama mereka. Saya tidak sabar untuk memulakan musim 2025 tetapi kini saya perlu memikirkan mengenai kejuaraan dunia Moto2."
Pengumuman Ogura sebagai pelumba baharu Trackhouse Aprilia turut menyaksikan pelumba sedia ada pasukan itu, Miguel Oliveira masih tidak mempunyai pasukan bagi musim 2025.
Dan kehadiran Ogura juga melengkapkan senarai empat pelumba Aprilia musim depan yang turut diisi Jorge Martin dan Marco Bezzecchi yang berlumba bersama pasukan 'kilang' Aprilia Racing.
Di Trackhouse Aprilia, Ogura dan Fernandez akan berlumba menggunakan jentera spesifikasi terkini atau 'kilang' daripada Aprilia.
Oliveira ketika ini dijangka akan disenarai sebagai pelumba pasukan satelit Yamaha, Pramac Yamaha.
