AI Ogura Tak Sabar Beraksi Di Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/23/20251 min read

PELUMBA sensasi Trackhouse Aprilia, Ai Ogura memiliki banyak kenangan indah di Jerez, litar yang menjadi gelanggang bagi pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada minggu ini.

Bergelar 'rookie' di MotoGP pada musim ini, pelumba kelahiran Jepun itu pernah meraih kejayaan termasuk muncul juara di Jerez.

Pada 2022, Ogura berjaya meraih kemenangan di litar berkenaan dalam kelas Moto2 dan pada 2017, dia juga pernah bergelar juara di Kejuaraan CEV Sepanyol menggunakan jentera Moto3.

"Akhirnya kita tiba di Eropah," kata Ogura. "Jerez adalah salah satu litar kegemaran saya di Sepanyol... Saya tidak sabar untuk memulakan minggu ini satu lagi litar yang berbeza.

"Kami sedang berusaha, sedikit demi sedikit jadi saya tidak sabar untuk berlumba di sini."

Selepas empat pusingan, juara dunia Moto2 musim lalu itu ketika ini menghuni tangga ke-9 keseluruhan dan muncul pelumba rookie terbaik daripada tiga pelumba.

Malah, keputusan yang diperolehnya jauh lebih baik berbanding rakan sepasukannya, Raul Fernandez yang ketika ini menghuni tangga ke-19 keseluruhan.

Ogura pada pusingan pembukaan di Thailand mencipta kejutan apabila menamatkan Perlumbaan Sprint di tempat ke-4 dan ke-5 pada Perlumbaan Grand Prix.

Begitupun,, dia berdepan nasib malang apabila keputusannya pada pusingan ke-2 di Argentina dibatalkan.

Ketika ini, pelumba terbaik Aprilia di MotoGP adalah pelumba pasukan 'kilang', Marco Bezzecchi yang menghuni tangga ke-7 keseluruhan tetapi hanya dibezakan tiga mata berbanding Ogura.