AI Ogura Tolak Tawaran Sertai Honda Di MotoGP Pada 2023 - Lucio Cecchinello
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/10/20251 min read


BOS LCR Honda, Lucio Cecchinello berkata dia mengetahui yang pelumba Jepun, Ai Ogura berpeluang untuk beraksi di MotoGP pada musim 2023 tetapi menolak tawaran itu.
Sebagai pelumba di bawah program pembangunan Honda, Ogura membuat 'kejutan' apabila meninggalkan pengeluar itu untuk menyertai pasukan MT Helmets – MSi pada kempen Moto2 2024.
Keputusan itu jelas membuahkan hasil apabila dia berjaya menjulang gelaran dunia Moto2 sebelum menyertai 'liga besar' MotoGP pada musim ini.
Dan Ogura sekali lagi membuat kejutan apabila pasukan yang disertainya bukan Honda, tetapi pasukan yang menggunakan jentera buatan Itali yang dimiliki pemilik dari Amerika Syarikat, Trackhouse Aprilia.
Keputusan itu sekali lagi tampak tepat apabila pelumba berusia 25 tahun itu tampil dengan prestasi mengagumkan pada debutnya di Buriram, Thailand.
Bagi Cecchinello, apa yang dilakukan pelumba itu sememangnya satu kejutan bukan saja kepadanya, tetapi kepada mereka yang mengikuti MotoGP.
"Apa yang saya tahu adalah Ogura menerima tawaran daripada Honda selepas musim 2022, tetapi dia tidak mahu berpindah ke MotoGP ketika itu," kata Cecchinello kepada GPOne.com.
"Saya tidak pernah bercakap dengannya mengenai pasukan pilihannya untuk 2025 dan tidak pernah bertanya kepadanya mengapa dia memilih Trackhouse.
"Apa yang boleh saya cakap adalah yang saya benar-benar kagum dengan prestasinya.
"Saya fikir semua orang di MotoGP turut teruja. Ogura lebih laju ketika perlumbaan berbanding pelumba berpengalaman seperti (Marco) Bezzecchi.
"Dia amat konsisten dan menamatkan perlumbaan hampir di belakang Bagnaia ketika Perlumbaan Sprint. Ia sesuatu yang amat mengagumkan. Ogura tanpa ragu adalah bakat yang amat besar."
