AK550 Dah Disenarai Dalam Katalog Modenas, Pelancaran Bulan Ini?

TERKINI

1/2/20241 min read

MODENAS dijadual melancarkan beberapa model baharu tahun ini dan antara yang ditunggu-tunggu adalah model skuter terbaharu yang diposisikan dalam segmen aras tinggi.

Sekalipun belum diumumkan secara terbuka, model baharu berkenaan sudah pun dipertontonkan secara tertutup oleh Modenas tahun lalu dan salah satunya adalah AK550 - model yang dijenamakan semula daripada jenama Kymco.

Mengenai skuter berkenaan, kami di MotoDotMy.com turut mendapat jemputan membabitkan sesi previu media yang dijadual berlangsung pada 12 Januari ini tetapi tidak dapat dipastikan ia akan dilancarkan pada tarikh yang sama.

Namun seperti tak mahu menunggu sehingga pelancaran rasminya, Modenas akhirnya menyenaraikan skuter berkenaan di laman web rasminya dengan nama AK550.

Apa yang menarik, bukan sekadar maklumat asas, informasi yang diberikan dalam laman berkenaan nampak cukup terperinci terutama membabitkan spesifikasi yang dijangka ditawarkan.

Antara maklumat penting membabitkan AK550 selain rekaan adalah spesfikasi dan ciri-ciri menarik yang ditawarkan.

Mengulas ringkas mengenai spesifikasinya, AK550 adalah skuter maxi aras tinggi yang dipadankan dengan enjin bersesaran 550.4 cc, 2 Silinder, 4 Lajang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi Automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan cukup bertenaga iaitu 50.9 Hp pada 7,500 rpm dan tork 54 Nm pada 6,000 rpm.

Sebagai model aras tinggi, AK550 yang menggunakan sistem 'Ride by Wire' datang dengan pelbagai teknologi canggih dan premium antaranya mod kuasa (Full Power, Rain), Kawalan Jelajah, AIBS (Advanced Intelligent Braking System) dan panel meter jenis digital penuh lengkap dengan sistem sambungan ke telefon bimbit.

Untuk menghentikan skuter ini, AK550 dipadankan dengan brek cakera kembar bersaiz 270 cm dengan kaliper Brembo M4 4 Piston (depan) dan cakera tunggal 260 mm dengan kaliper 2 Piston (belakang).'

Antara ciri-ciri menarik dan informasi lain adalah seperti ruang bawah pelana yang mampu memuatkan dua buah helmet, set roda 120/70-15 (depan),

160/60-15 (belakang), tinggi pelana 785 mm, kapasiti tangki bahan api 14.5 liter dan berat 223 kg.

Setakat ini, antara maklumat yang diperleh adalah AK550 berkemungkinan besar tidak akan dijual pada harga yang 'marhaen' seperti beberapa barisan model Modenas yang lain.

Tetapi itu hanya jangkaan dan tunggu perkembangan lanjut mengenainya daripada kami pada 12 Januari ini.