AKID Aziz Rasmi Sertai Voge AS25 Racing Team
Pengalaman yang dimiliki Akid Aziz yang hadir dengan status juara 2 kali CP150 Cub Prix jelas akan menjadi aset penting dan sesuatu yang diharapkan oleh VOGE AS25 Racing Team
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/5/20261 min read


VOGE AS25 Racing Team memperoleh 'tenaga baharu' apabila rasmi mendapatkan khidmat juara 2 kali CP150 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix, Muhammad Akid Aziz bagi mengharungi baki saingan musim 2026.
Kepada peminat sukan permotoran 2 roda tanah air, Akid bukanlah nama asing dengan bekas pelumba pasukan Yamaha itu pernah dinobatkan juara kelas elit Cub Prix, CP150 sebanyak 2 kali pada musim 2023 dan 2024.
Justeru, pengalaman yang dimiliki pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu jelas akan menjadi aset penting dan sesuatu yang diharapkan oleh VOGE AS25 Racing Team.
Prinsipal VOGE AS25 Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman berkata jentera VOGE FR150 sudah menunjukkan kemampuan untuk memberi saingan kepada pengeluar lain dan pasukan mahu ambil langkah seterusnya untuk memburu keputusan yang lebih baik.
"Jentera VOGE FR150 kini sudah mampu memberi saingan kepada jenama lain, tetapi kami dahagakan kemenangan. Kami mahu berada di podium dan untuk itu, kami perlu membuat keputusan yang berani. Saya yakin pemilihan Akid adalah langkah yang paling tepat pada ketika ini.”
Azlan dalam pada itu berjanji akan memberikan sokongan penuh kepada Akid yang akan terus bersama pasukan itu bagi musim 2027.
"Kami tahu kemampuan dan pengalaman yang Akid miliki. Kehadirannya memberikan kami satu lagi pilihan yang kuat dalam barisan pelumba.
"Sasaran kami jelas. Kami mahu mencabar kedudukan podium dan kemenangan, dan kami akan berusaha memberikan pakej terbaik kepada Akid untuk membolehkannya memberikan prestasi terbaik bersama pasukan.”
Dalam pada itu, Akid Aziz menyifatkan peluang menyertai VOGE Racing Team sebagai satu cabaran baharu dalam kariernya.
"Saya berterima kasih kepada VOGE Racing Team dan pihak pengurusan kerana memberikan kepercayaan kepada saya. Ini satu cabaran dan permulaan baharu buat saya. Saya akan memberikan komitmen sepenuhnya dan cuba memberikan yang terbaik untuk pasukan.
"Sasaran sudah tentu untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam baki tiga pusingan musim
ini. Saya berharap dapat memberikan sumbangan yang positif kepada pasukan dan meneruskan momentum itu untuk musim 2027."

