AKID Tekad Lupakan Episod 'Hitam' Musim Lalu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/21/20251 min read


PENGALAMAN pahit musim lalu mahu dijadikan sebagai pengajaran berharga oleh pelumba negara, Md Akid Aziz menjelang pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini di Buriram, Thailand, hujung minggu ini.
Pada musim lalu, pelumba pasukan Pitsbike Superfast JRT Racing itu yang bersaing dalam kelas Underbone 150 hampir merangkul gelaran juara keseluruhan apabila tiba di pusingan terakhir di Thailand sebagai pendahulu kejuaraan.
Begitupun, impian itu tidak menjadi kenyataan selepas dia terbabit dalam insiden kontroversi pada perlumbaan terakhir.
Ketika kejuaraan tampak dilihat hampir menjadi miliknya, Akid dinafikan kejuaraan apabila pelumba Indonesia, Murobbil Vittoni dilihat seperti sengaja menghimpitnya di selekoh terakhir.
Situasi itu menyaksikan Akid terjatuh dengan keputusan itu membenarkan rakan sepasukan pelumba itu, Fahmi Basam memenangi perlumbaan dan seterusnya merangkul gelaran keseluruhan.
Akid berkata, banyak perkara penting yang boleh dipelajarinya terutama soal konsistensi, kemampuan menyesuaikan diri serta kekuatan mental daripada 'insiden' musim lalu itu.
"Kesilapan kecil boleh memberi kesan besar, jadi bagi saya, fokus dan meminimumkan kesilapan sepanjang musim adalah sangat penting," kata Akid.
"Setiap litar mempunyai cabaran tersendiri yang memerlukan pendekatan berlainan dan saya mahu memanfaatkan sepenuhnya kekuatan saya untuk tampil lebih kompetitif musim ini.
"Setiap litar menuntut gaya tunggangan berbeza. Bagi saya, cabaran utama musim ini ialah menyesuaikan diri sebaik mungkin dan menebus semula peluang yang terlepas tahun lalu.
"Saya akan berusaha keras demi membawa pulang gelaran juara musim ini," katanya.
Akid yang sebelum ini pernah merancang untuk menyertai kelas berbeza pada tahun lalu menamatkan saingan dengan mengumpul 131 mata sebagai naib juara dengan Fahmi mengumpul 142 mata.
Ia adalah hasil 'bantuan' 25 mata yang diperoleh Fahmi susulan kemenangan diraihnya dengan Akid yang tetapi bangkit meneruskan perlumbaan hanya mampu meraih 3 mata.
