ALEIX Espargaro menjadi antara individu paling gembira apabila tempatnya di Aprilia MotoGP musim depan diambil alih oleh rakan baiknya, Jorge Martin.
Begitupun, pelumba paling veteran di grid MotoGP itu musim ini mengakui 'bimbang' dengan peralihan Martin daripada menunggang jentera terbaik di kempen elit itu kepada Aprilia yang dilihat terus bergelut pada musim ini.
"Ia turut membimbangkan saya kerana tidak mudah selepas begitu lama bersama Ducati, dengan jentera yang memenangi perlumbaan, untuk tiba di Aprilia dengan konsep yang amat berbeza," kata Espargaro kata Espargaro memetik laporan Motosprint.
"Ia tidak akan mudah, tetapi dia adalah rakan baik saya dan meninggalkan jentera saya kepadanya adalah satu impian."
Espargaro akan menggantung sut lumbanya sebagai pelumba sejurus pusingan terakhir MotoGP musim ini berakhir di salah satu litar terbaiknya, Catalunya.
Dan Espargaro tampak cukup yakin Martin yang memiliki kelebihan 24 mata di depan Francesco Bagnaia akan menjulang gelaran itu.
"Jorge menang," katanya. "Dia mempunyai kelebihan yang bagus, dia juga menunjukkan yang dia laju pada beberapa perlumbaan terakhir. Perbezaan antara Pecco dan Jorge cukup menakjubkan, ia mengingatkan saya kepada beberapa perseteruan dua pelumba pada era sebelum ini.
"Mereka berdua layak untuk memenangi kejuaraan."
Martin meninggalkan Ducati selepas pengeluar Itali itu menafikan tempatnya di Ducati Lenovo musim depan dengan posisi itu diberikan kepada Marc Marquez.