ALEIX Espargaro Dedikasi Kemenangan Kepada Pecco, 'Syukur Tiada Yang Serius'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/4/20232 min read

ALEIX Espargaro menjulang Aprilia merangkul kemenangan berganda di Grand Prix Catalunya 2023, semalam namun selepas memenangi perlumbaan utama, ia didedikasikan kepada Francesco Bagnaia yang berdepan insiden mengerikan.

Sejurus perlumbaan berakhir, Espargaro yang juga pelumba paling tua di grid MotoGP 2023 berkata: "Ini adalah untuk Pecco (gelaran untuk Bagnaia)."

Ketika perlumbaan, Bagnaia berdepan detik cukup menakutkan selepas kakinya dirempuh oleh pelumba KTM, Brad Binder selepas mengalami 'highside' seawal pusingan pertama di Catalunya.

Begitupun selepas dikejarkan dan menjalani pemeriksaan di hospital, ujian awal mendapati kecederaan yang dihadapi penyandang juara dunia MotoGP itu tidak begitu serius malah tiada kecederaan 'patah' dialami.

Tetapi sejurus perlumbaan berakhir, Pecco dan pasukannya terbang ke Itali untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut. Dan juara dunia MotoGP 2022 itu turut berkongsikan imejnya di hospital dengan kapsyen: "Hari ini, saya hanya boleh berkata terima kasih."

Untuk Aprilia, ia juga adalah kemenangan 1,2 pertama buat jenama Itali itu dalam perlumbaan kelas perdana selepas Maverick Vinales menamatkan saingan di tangga kedua.

Melengkapkan kedudukan podium adalah pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin yang menyaksikan ketiga-tiga kedudukan podium di Catalunya diisi pelumba tuan rumah Sepanyol.

"Kemenangan ini untuk Pecco, syukur kita dapat mendengar tiada apa yang serius," kata Espargaro.

Mengulas prestasi hebatnya di Catalunya, Espargaro berkata: "Sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata. Keadaan sukar terutama mengenai angin.

"Saya fikir saya tidak mampu untuk memintasnya (Vinales), tetapi saya tunggu dan melakukannya."

Selain Bagnaia, turut mengalami kemalangan sedikit awal adalah rakan sepasukannya Enea Bastianini yang turut mengheret empat lagi pelumba Ducati, Johann Zarco, Fabio di Giannantonio, Alex Marquez dan Marco Bezzecchi.

Tetapi ketika situasi Bastianini menyukarkannya untuk kembali ke litar, Zarco, Giannantonio, Marquez dan Bezzecchi meneruskan perlumbaan dan memperoleh mata kejuaraan.

Binder yang melanggar kaki Bagnaia turut menamatkan perlumbaannya lebih awal bagi mengetahui keadaan pelumba berkenaan selain sebagai solidaritinya kepada pelumba Itali itu.

Keputusan Perlumbaan GP Catalunya 2023

1. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), 38 minit 56.159 saat (s)

2. Maverick Vinales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), +0.377s

3. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP23), +2.831s

4. Johann Zarco (FRA) Pramac Ducati (GP23), +4.867s

5. Miguel Oliveira (POR) RNF Aprilia (RS-GP22), +7.529s

6. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP22), +10.590s

7. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +10.821s

8. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +10.880s

9. Augusto Fernandez (SPA) Tech3 GASGAS (RC16)*, +12.889s

10. Fabio Di Giannantonio (ITA) Gresini Ducati (GP22), +13.280s

11. Luca Marini (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +16.491s

12. Marco Bezzecchi (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +16.561s

13. Marc Marquez (SPA) Repsol Honda (RC213V), +21.616s

14. Franco Morbidelli (ITA) Monster Yamaha (YZR-M1), +23.108s

15. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +26.740s

16. Iker Lecuona (SPA) LCR Honda (RC213V), +28.860s

17. Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), +33.929s

Raul Fernandez (SPA) RNF Aprilia (RS-GP22), DNF (Tak habiskan Perlumbaan)

Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), DNF

Pol Espargaro (SPA) Tech3 GASGAS (RC16), DNF

Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP23), DNF

Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP23), DNF

Sumber imej: FB Francesco Bagnaia, Aprilia