ALEIX Espargaro Nak Nangis Dapat Hadiah 'Padu' Dari Suzuki, Jentera MotoGP GSX-RR 2016

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/8/20231 min read

Sebagai pelumba MotoGP, lebih-lebih lagi pelumba pasukan utama atau 'Kilang', keistimewaan yang dimiliki golongan 'terpilih' ini memang banyak dan mengujakan.

Terbaharu, bekas pelumba Suzuki Ecstar di MotoGP yang kini bersama Aprilia, Aleix Espargaro mendedahkan dia mendapat hadiah penuh emosi daripada Suzuki iaitu jentera MotoGP yang digunakan pada musim 2016, Suzuki GSX-RR.

Kepada yang tak tahu, Suzuki membuat penampilan semula selepas 'berehat' daripada MotoGP pada 2015.

Dan ia adalah pasukan 'kilang' MotoGP pertama disertai Espargaro selepas beberapa musim beraksi bersama pasukan satelit.

Suzuki GSX-RR itu diambil oleh Espargaro di bekas ibu pejabat pasukan Suzuki Ecstar di Milan, Itali selepas perlumbaan di Assen.

Espargaro yang juga pelumba paling 'senior' di grid MotoGP musim ini benar-benar terharu dengan hadiah berkenaan dan mengakui hampir menitiskan air mata.

"Ini adalah salah satu hadiah yang membuatkan saya teruja sepanjang hidup saya," kata Espargaro. "Ia membuatkan saya hampir menangis, bulu roma saya meremang dengan teruk.

"Orang kata ia mustahil, mereka (pasukan) tidak akan memberikan atau menjual jentera MotoGP tetapi saya mempunyai hubungan yang baik dengan mereka dan sentiasa menyokong mereka sejak meninggalkan Suzuki dan menyertai Aprilia.

"Suzuki adalah pasukan 'kilang' pertama yang mempercayai dan meletakkan kepercayaan kepada saya, mengubah hidup saya dan keluarga saya buat selama-lamanya. Terima kasih kepada mereka, saya kini Aprilia, memenangi perlumbaan dan podium."

Jodoh Espargaro dengan Suzuki memang tidak lama iaitu dua musim (2015-2016) sebelum dia dan rakan sepasukannya ketika itu, Maverick Vinales kedua-duanya mencari haluan baru.

Suzuki mencipta antara kejutan terbesar di kancah MotoGP tahun lalu apabila bertindak menarik diri daripada perlumbaan elit itu sejurus musim lepas berakhir.