ALEIX Espargaro 'Panas', Aneh Kenapa Bastianini, Morbidelli Tak Dihukum Di Le Mans!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/15/20241 min read

PELUMBA paling veteran di grid MotoGP 2024, Aleix Espargaro berang apabila dua pelumba yang didakwa hampir membuatkannya terjatuh di Le Mans - Enea Bastianini dan Franco Morbidelli - tidak dikenakan sebarang tindakan.

Espargaro dari Aprilia mendakwa Bastianini memintasnya dengan cara yang bahaya pada awal perlumbaan yang memaksanya mengambil laluan lurus di selekoh 9 yang turut menyaksikannya kemudian dipotong Fabio Quartararo.

Susulan pergerakan agresif itu, Bastianini dikenakan penalti 'Long Lap' namun bukan disebabkan tindakannya memintas Espargaro, tetapi kerana memotong selekoh.

Dan pada pusingan terakhir, pelumba kelahiran Sepanyol itu sekali lagi mendakwa dipotong secara merbahaya kali ini daripada pelumba Pramac Ducati, Morbidelli yang memaksanya melepasi garisan penamat di tempat ke-9.

Tampak cukup berang dengan tindakan Morbidelli, Espargaro sejurus perlumbaan meluru kepada pelumba Itali itu dengan insiden itu dapat dirakam kamera.

Justeru, Espargaro mempersoalkan mengapa pelumba yang memaksa pelumba lain untuk mengelak daripada terbabit kemalangan tidak dikenakan hukuman.

"Dengan Enea, saya perlu menganggkat jentera saya, ia amat pantas. Tetapi Franco juga, jika saya tidak menaikkan jentera saya, saya akan terjatuh," kata Espargaro.

"Jadi apa yang saya rasa adalah mereka hanya mengenakan penalti jika kamu jatuh.

"Tetapi apa yang sepatutnya kamu nilai dan kenakan penalti adalah tindakan, bukan keputusan. Jika saya kekal di garisan saya, kami berdua akan berdepan (kemalangan) yang besar.

"Jadi saya tidak begitu memahaminya, tetapi ia 'OK',".

Berdasarkan data, Espargaro yang menghuni posisi ke-3 ketika insiden pertama kehilangan 3 saat dan berpotensi mendapatkan keputusan lebih baik daripada 9 jika ia diambil kira.